Laman Utama
Halalkan Hutang Sebelum Pembantu Rumah Pulang Ke Indonesia, Hafiz Mahamad Dipuji Netizen
Selebriti media sosial dan usahawan Hafiz Mahamad berkongsi satu kisah syahdu menerusi hantaran terkininya di Instagram.
Menerusi video yang dimuat naik, Hafiz memberitahu, pembantu rumahnya yang dikenali sebagai Bikna telah pulang ke kampung halaman di Indonesia.
Tidak hanya kepulangan Bikna meninggalkan kesan kepada Hafiz, malah turut dirasai oleh seisi keluarga terutama isterinya, Syafiqah Aina dan anak-anak.
“Menangis isteri saya hari ini… saya pun hampir juga tadi. Nasib baik cover dengan cermin mata. Hari ini kami terpaksa berpisah dengan orang yang kami sayang. Siapa dia? Bibik.
“Pada saya dan isteri, tidak pernah kami anggap dia sebagai seorang pembantu rumah. Dia insan yang penting dalam keluarga kecil kami. Anak saya yang bongsu rapat sangat dengan Bibik,” katanya menerusi video yang dimuat naik.
Hafiz berkata, perasaan sebak menyerang dirinya saat melihat video-video lama yang dirakam bersama pembantu rumahnya itu.
“Bila fikir balik kenapa nak selalu emosional? Sebab itu tugas dia. Tapi dia seperti keluarga,” ujar Hafiz lagi.
Dalam pada itu, Aina turut dilihat menahan sedih saat ingin melepaskan Bikna pulang.
“Terima kasih Bikna sebab selalu jaga anak saya, sayang anak saya macam anak kamu,” katanya.
Sebelum masuk ke balai berlepas, Hafiz sempat menghulurkan wang tunai sekitar Rp 9 juta (RM2,745) kepada Bikna. Terharu dengan pemberian itu, Bikna menyatakan yang dia mempunyai hutang lain yang belum dilangsaikan dengan Hafiz.
“Tak apa saya halalkan hutang tu… Itu bukan hutang, itu tanggungjawab saya untuk bayar anak kamu belajar,” katanya.
Menerusi ruangan komen, ramai yang memberikan respons positif terhadap Hafiz, termasuk memuji tindakannya menghalalkan hutang Bikna.
Must-Watch Video