Mungkin salah satu impian bagi seorang penyanyi adalah untuk memiliki mikrofon sendiri. Tidak hanya mampu menampilkan kualiti bunyi yang lebih baik, penggunaan mikrofon sendiri juga difahamkan dapat memperbaiki mutu persembahan seseorang penghibur.

Hal ini turut dipersetujui oleh penyanyi berbakat besar, Aina Abdul. Memiliki mikrofon sendiri dilihat mampu ‘memudahkan’ dirinya untuk membuat persembahan, di samping memberi yang terbaik buat penonton dan juga khalayak.

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul)


“Hasrat untuk memiliki mikrofon sendiri sudah lama tercetus dalam diri. Sekitar tiga tahun lalu. Maklumlah, apabila melihat artis senior memiliki mikrofon sendiri, kita pun pasang impian ingin memiliki mikrofon seumpama itu.

“Selepas melihat ulasan dan mendengar maklum balas yang bagus daripada pengguna mikrofon berjenama sama, saya memutuskan untuk membeli. Tiga tahun saya kumpul duit untuk memilikinya. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga merasa menggunakan mikrofon milik saya sendiri,” kongsi Aina.

Aina ditemui pada sidang media Konsert Patriotik Tanah Airku di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

BACA: "Terima Kasih Aina, Bangga!" - Aina Abdul Muncul Dalam Program Korea Simply K-Pop, Netizen Suka!

Ditanya adakah dia kini sudah boleh berdiri setanding dengan penyanyi-penyanyi hebat seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Hafiz Suip dan Misha Omar yang turut memiliki mikrofon sendiri, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Gani, 28, berkata, masih jauh perjalanan yang harus ditempuh dalam bidang seni untuk menyamai level penyanyi gred A lain.

“Masih jauh perjalanan saya. Tetapi, sekurang-kurangnya, saya dapat merasai apa yang mereka rasa, memegang mikrofon yang dibeli sendiri. Dan apa yang penting, nyanyian saya dengan menggunakan mikrofon sendiri membuatkan saya lebih selesa.

“Alasan utama saya untuk memiliki mikrofon sendiri adalah kerana lagu-lagu saya semuanya bernada tinggi. Jadi, saya memerlukan mikrofon yang tidak meletihkan saya. Untuk setanding dengan artis gred A itu tidaklah, tetapi lebih kepada untuk menjadi Aina Abdul yang lebih baik,” kongsi Aina lagi.

Sebelum ini, media melaporkan mikrofon milik Aina berharga puluhan ribu ringgit. Justeru, ketika diusik dengan pertanyaan adakah harga Aina Abdul juga akan meningkat, penyanyi lagu Semalam itu berkata: “Harga saya tidak tahu, kena tanya pengurus,” katanya sambil tertawa.

Dalam perkembangan lain, Aina bakal muncul menerusi Konsert Patriotik Tanah Airku di Istana Budaya pada 6 November 2021. Menerusi konsert tersebut, Aina bakal bergandingan dengan beberapa penyanyi popular lain seperti Ernie Zakri dan Syamel. Tiket mula dijual di Istana Budaya pada 1 November depan.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!