Sekilas
- Elfira Loy berkongsi pengalamannya menghadapi masalah sukar tidur hampir setahun sebelum didiagnosis dengan gangguan kebimbangan menyeluruh (GAD) selepas mendapatkan bantuan pakar psikiatri.
- Dia mengalami keletihan teruk akibat menguruskan anak tanpa pembantu dan jadual padat, yang menyebabkan dia keluar masuk hospital kerana menyangka masalahnya berkaitan kesihatan fizikal.
- Elfira kini lebih peka terhadap keperluan rehat dan dilantik sebagai jurucakap jenama Cuura Wellness, turut terlibat dalam pembangunan produk berdasarkan keperluan dan citarasanya sendiri.
Hampir setahun berdepan masalah sukar tidur, pelakon Elfira Loy berkongsi dirinya pernah mendapatkan bantuan pakar psikiatri sebelum didiagnosis mengalami gangguan kebimbangan menyeluruh atau generalised anxiety disorder (GAD).
Elfira berkata, ketika itu dia menguruskan anak-anak tanpa pembantu dalam keadaan jadual yang padat sehingga kekurangan tidur menjejaskan emosinya.
Menurutnya, dia pernah menyangka dapat melelapkan mata dengan membuatkan badan lebih penat, namun masih sukar tidur biarpun sudah terlalu letih.
“Orang selalu cakap, ‘Elfira, you are so active, kuat!’ Tapi sebenarnya saya bergelut. Tak cukup tidur, kena jaga anak sendiri tanpa pembantu, jadual terlalu padat sehingga memberi kesan kepada emosi saya.
“Saya sampai terpaksa berjumpa pakar psikiatri untuk periksa apa yang berlaku. Rupa-rupanya saya mengalami generalised anxiety disorder (GAD),” katanya ketika ditemui pada acara jenama kesihatan dan kecantikan Cuura di Open House, Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah Elfira, dia beberapa kali keluar masuk hospital antara Januari hingga Mei kerana menyangka keletihan yang dialaminya berpunca daripada masalah kesihatan fizikal.
“Hampir setahun saya ada masalah sukar tidur. Saya keluar masuk hospital dari bulan Januari hingga Mei sampai saya ingat saya ada penyakit fizikal lain. Doktor beritahu masalah utama adalah anxiety dan overthinking.
“Saya sendiri tak pasti sama ada saya tidur atau tidak, badan rasa sangat letih. Jadi sekarang saya belajar untuk bertenang,” ujarnya.
Ditanya sama ada pernah diberikan ubat penenang, Elfira memberitahu doktor pernah mempreskripsikan ubat kepadanya dan dia sudah tidak mengambilnya sejak tahun lalu.
Pada masa sama, Elfira berkata pengalaman itu membuatkannya lebih peka terhadap keperluan tubuh untuk berehat, terutama dalam menjalani rutin harian bersama anak-anak.
“Kadang-kadang kita layan saja rasa penat kita, tidur tak cukup. Tapi sebenarnya benda tu penting. Kalau tak penting, itu yang buat kita rasa berat setiap pagi nak jaga anak ataupun nak mulakan kehidupan seharian,” katanya.
Sementara itu, mengulas kerjasamanya dengan Cuura Wellness, Elfira memaklumkan dia dilantik sebagai jurucakap dan wajah utama jenama itu dan turut terlibat dalam pembangunan produk dengan berkongsi pandangan mengenai ramuan dan rasa.
“Memang produk ini berdasarkan apa yang saya suka, apa yang saya perlukan dan apa yang saya boleh minum. Sebab saya bukan peminat suplemen dan ada bahan-bahan yang saya tak sesuai untuk telan,” ujarnya.