Harga runcit RON97 turun 10 sen kepada RM3.85 seliter berbanding RM3.95, manakala harga RON95 dan diesel kekal tidak berubah untuk minggu ini dari 1 hingga 7 Dis.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga siling RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, walaupun harga pasaran kedua-dua produk itu meningkat melebihi harga siling semasa.

Penetapan harga itu dibuat berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

"Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah global dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," menurut kenyataan itu.

Sumber: Bernama