Aplikasi TikTok merupakan salah satu platform media sosial yang popular dan digunakan oleh pelbagai lapisan umur termasuk kanak-kanak.

Bagaimanapun, kebebasan berkongsi pelbagai jenis video menimbulkan tanda tanya sejauh mana ianya selamat untuk kanak-kanak memandangkan sesiapa sahaja boleh melihat perkongsian dalam aplikasi itu tanpa sekatan.

Menurut Dr Ruziana, pengguna TikTok di bawah usia 13 tahun boleh melihat versi TikTok yang ditapis, bagaimanapun, mereka boleh menipu umur untuk melihat kandungan yang tidak ditapis.

"Pengguna yang berusia di bawah 13 tahun boleh melihat versi TikTok yang ditapis, tetapi ada yang bimbang kanak-kanak mungkin berbohong tentang umur mereka mereka untuk melihat kandungan yang tidak ditapis. Tambahan pula, pandemik COVID-19 menjadi penyebab berlakunya peningkatan jumlah pengguna TikTok kerana mereka berada di rumah sepanjang masa," katanya.

Dr Ruziana menegaskan, aplikasi ini turut perlu dipandang dari aspek kesan negatif kerana ia boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak kerana mereka berpotensi terkena Pemangsa Seksual atau Pengantunan Seksual.

"Walaupun platform ini berusaha keras untuk mengurangkan risiko pemangsa seksual dalam kalangan anak-anak di bawah umur, masalah ini masih berleluasa di TikTok. Contohnya, individu dewasa boleh menghantar mesej dan gambar berbentuk seksual kepada kanak-kanak. Terdapat banyak kejadian di mana ibu bapa harus melaporkan tingkah laku pemangsa kepada polis," katanya.

Dalam pada itu, Dr Ruziana menambah, aplikasi berkenaan turut boleh memudaratkan privasi kanak-kanak, remaja serta ahli keluarga.

"Contohnya, apabila anak-anak membuat video di rumah mereka, mereka mendedahkan ruang privasi di dalam rumah, berkongsi lokasi, mempamerkan kereta ibu bapa mereka dan mempamerkan nombor plat kenderaan". Akibatnya, pihak tidak bertanggungjawab boleh mengambil peluang atas maklumat-maklumat peribadi sebegini dan pelbagai ugutan, jenayah siber, mahupun jenayah secara fizikal boleh berlaku.

" Kanak-kanak dan remaja juga boleh terdedah kepada komen negatif di ruang TikTok, sama seperti di platform media sosial yang lain. Semakin banyak pengguna sesuatu platform media sosial itu, lebih besar peluang untuk menerima komen negatif dan ini boleh memberi kesan buruk terhadap harga diri dan keyakinan seseorang kanak-kanak dan remaja," jelasnya.

Apapun, ibu bapa harus memantau tingkah laku dan keselamatan anak-anak, kemudahan teknologi masa kini haruslah dimanfaatkan dengan cara yang betul dan selamat.

Sumber: BERNAMA
Kredit Foto: Bloomberg