Dengan kuasa memanah yang hebat, adiwira Avenger popular, Clint Barton yang dilakonkan oleh Jeremy Renner akan muncul dalam siri Hawkeye yang akan mula bersiaran pada hari ini di Disney+ Hotstar.

Menurut Renner, ada banyak sisi Hawkeye yang belum ditonjolkan kepada semua peminat. Selain menjadi bapa kepada anak-anaknya, dia turut bergelar seorang abang kepada gadis yang pernah diselamatkan olehnya suatu ketika dahulu.

“Kali terakhir kita melihat Clint, dia bersedih kerana kematian seorang kawan baiknya. Terikat dengan End Game, watak ini banyak bermain dengan emosi.

“Dalam siri ini, Clint lebih menonjolkan sisi kebapaan. Dia semakin sembuh daripada bersedih dan dia bersama anak-anaknya bermula dengan percutian keluarga,” ujar Renner ketika ditemual.

Renner ditemui ketika majlis sidang media Hawkeye yang diadakan secara maya pada minggu lalu.

Tambah Renner lagi, kemunculan penyanyi dan pelakon Hailee Steinfeld sebagai Kate Bishop yang merupakan rakan seperjuangannya dalam siri kali ini ibarat abang dan adik.

“Dia masuk ke dalam keluarga Marvel dengan segala persiapan yang rapi. Dia cukup bersedia. Tapi pada masa yang sama, buat saya rasa tua bila melihat ada orang keluar masuk. Saya dah macam datuk,” katanya.

Selain Renner, majlis sidang media tersebut turut disertai oleh Hailee Steindfeld, Rhys Thomas selaku pengarah dan produser eksekutif, Kevin Feige (produser eksekutif), Vera Farmiga yang membawa watak Eleanor Bishop dan Tony Dalton (Jack Duquesne).

Bagi Steinfeld pula, dia meluahkan rasa bersyukur apabila terpilih menyertai keluarga Marvel Cinematic Universe (MCU) menjadi Kate Bishop, satu watak yang cukup disayangi ramai.

“Saya rasa bermain dengan karakter Kate Bishop, memaksa saya mencari keyakinan diri, kegigihan dan displin yang sememangnya ada dalam diri saya untuk menyerlahkan lagi watak ini. Saya perlu memberikan keadilan pada watak ini. Tapi apa-apa pun saya bertuah untuk menjadi Kate Bishop, satu watak yang disayangi ramai dan ramai yang menunggu watak ini dihidupkan.

“Saya mula menjalani latihan memanah dan beberapa aksi stunt bersama bapa saya yang merupakan seorang jurulatih peribadi di Los Angeles.

“Saya bersyukur menerima sokongan yang penuh daripada Jeremy. Sebagai Kate, dia ibarat mentor di dalam cerita dan di luar cerita. Jeremy Renner adalah merupakan idolanya,” jelasnya lagi.



Siri Hawkeye mengisahkan adiwira Avenger Clint Barton ataupun Hawkeye kembali bersama keluarganya bersempena sambutan Hari Natal.

Namun apabila ada dendam lama muncul, Hawkeye bekerjasama dengan Kate Bishop, 22, seorang gadis pemanah dan juga peminatnya, merungkai konspirasi jenayah terbabit.

Hawkeye merupakan siri kelima Marvel Studios yang dilancarkan di Disney+ Hotstar selepas WandaVision, The Falcon and The Winter Soldier dan Loki.

Tonton dua episod pertama siri Hawkeye bermula 24 November di platform Disney+ Hotstar.