Pelakon Hazman Al-idrus membuat kemunculan semula dalam bidang seni suara dengan buah tangan terbaharu berjudul Aura.

Lagu berentak rock itu merupakan hasil sentuhannya sendiri dan dicipta dalam tempoh sebulan.

Kata Hazman, biarpun tidak punyai sebarang pengalaman untuk menerbitkan lagu namun dia mengambil cabaran itu untuk meneroka bidang baharu yang belum pernah dicubanya.

"Pengalaman sangat mencabar sebab ini adalah karya sulung saya dan saya memang tiada pengalaman untuk menerbitkan lagu. Banyak perkara baru yang saya belajar tentang pembikinan muzik, mulai dari menulis lirik lagu, mencipta melodi, masuk ke studio untuk rakaman, penyusunan muzik dan vokal sehinggalah proses penerbitan lagu ini.

"Bukan mudah, namun ia adalah proses pembelajaran bagi saya supaya lebih mahir dimasa akan datang," katanya mengenai lagu yang diterbitkan oleh syarikat Hai Production.

Bercerita tentang lagu sulungnya ini, Hazman memberitahu lagu terbabit dicipta ketika berada di tepi sungai di rumah datuk saudaranya di Janda Baik, Pahang.

"Saya mendapat ilham lagu Aura ini tepat jam 12 tengah malam di tepi sungai rumah datuk saudara di Janda Baik. Aura di sana pun lain macam jadi setelah mendapat ilham mencipta melodi serta lirik tu saya pun terus simpan gitar dan dengan rasa bersemangat saya dapat idea untuk namakan lagu ini dengan judul Aura.

"Dengan 'comeback' saya ke dunia nyanyian ini saya menjadikan Aura sebagai inspirasi bagi diri saya sendiri supaya dapat memberikan aura yang positif dalam kerjaya dan aktiviti seni serta kehidupan yang saya jalani," katanya.

A post shared by H A Z M A N A L - I D R U S (@hazman_alidrus)


Sebelum ini Hazman Al-idrus pernah mewakili Malaysia untuk rancangan realiti nyanyian D’Academy Asia musim pertama di Indonesia pada tahun 2015.

Walaupun beliau hanya berada di kedudukan Top 10 namun dari situlah bermula karier lakonannya apabila ditawarkan untuk membintangi beberapa buah telemovie di Indonesia sebagai watak utama antaranya Jodoh Ditangan Ilahi, Aku Hanya Butuh Maaf Anakku serta Cinta Dua Generasi.

Hazman turut menerima tawaran lakonan dari produksi tanah air dan diberi kepercayaan sebagai hero untuk beberapa buah drama tempatan antaranya Wasiat Dari Jordan, Arjuna Cinta Keisha dan banyak lagi. Drama lakonan beliau yang terbaharu iaitu Kisah Cinta Kita terbitan A.Aida Production bakal ditayangkan pada pertengahan November ini.

Lagu Aura kini boleh dimuat turun di iTunes Store dan boleh didengari di semua platform digital seperti Joox, Spotify, Apple Music, Youtube Music, KKBox, Deezer dan lain-lain lagi. Muzik video lirik rasmi juga boleh ditonton di saluran Youtube Hazman Al-idrus.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!