Pelakon yang popular menerusi siri televisyen Glee, Naya Rivera disyaki lemas di Tasik Piru, Taman Negara Los Padres, California, Amerika Syarikat pada Rabu.

Rivera, 33 masih belum ditemui selepas disyaki hilang di tasik tersebut.

Bagaimanapun, bot yang dinaikinya ditemui bersama seorang kanak-kanak berusia 4 tahun, dipercayai anak lelakinya.

Pasukan penyelamat sedang mempergiatkan usaha mencari Rivera menggunakan helikopter, dron dan kumpulan penyelam.

Kanak-kanak yang ditemui sedang tidur itu memberitahu ibunya pergi berenang namun tidak pulang ke bot mereka dalam tempoh yang lama.

"Terdapat banyak halangan untuk mencari orang yang hilang di dalam hutan simpan ini dengan kadar penglihatan yang sukar," kata Kapten Eric Buschow dari pasukan penyelamat.

Kali terakhir River berkongsi fotonya bersama anak lelaki pada petang Selasa dengan kapsyen berbunyi; "Hanya kami berdua."

Usaha penyelamat mencari Rivera diteruskan.

Sebelum ini, dua bintang siri televisyen Glee, Cory Monteith dan Mark Salling dilaporkan meninggal dunia akibat pengambilan bahan terlarang berlebihan dan bunuh diri.