Baru-baru ini tular satu trend unik apabila bungkusan makanan ditutup mengggunakan paku.

Biarpun nampak agak menarik dan ‘hipster’, namun penggunaan material seperti paku sebenarnya berbahaya kepada pengguna.

Menerusi satu posting oleh laman Facebook Public Health Malaysia, paku dianggap sebagai ‘food hazard’ dan tidak sesuai untuk digunakan sebagai kaedah pembungkusan makanan.

Mengambil contoh kejadian terdahulu, laman berkenaan mendedahkan terdapat satu kes yang mana seorang kanak-kanak pernah tertelan paku.

“Seorang kanak-kanak dibawa oleh keluarga ke kecemasan hospital kerana dikhuatiri tertelan paku.

“Kanak-kanak tersebut mengalami sakit perut dan menangis tidak henti. Imbasan xray mendapati paku tersebut telah sampai ke bahagian perut.

“Pembedahan kecemasan terpaksa dilakukan untuk mengeluarkan paku tersebut.

“Ini adalah contoh kejadian yang tidak diingini akibat kehadiran bendasing di dalam makanan,” kata pengendali akaun tersebut.

Tambah Public Health Malaysia untuk mencegah kejadian berisiko ini, elakkan membeli makanan yang dibungkus dan ditutup dengan menggunakan paku.

“Pengendali makanan disarankan untuk mengelakkan penggunaan paku pada bungkusan makanan.

“Jangan letak paku di kawasan tempat makanan seperti meja dapur atau tempat yang boleh dicapai dengan mudah oleh kanak-kanak.

“Guna getah (atau kaedah mengikat lain) tidak mengubah rasa, resepi asal makanan.

“Jika ada menemui peniaga yang masih menggunakan paku untuk membungkus makanan, laporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

“Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Makanan 1983,” tulis laman berkenaan.