Selepas memohon maaf secara terbuka kerana menghisap rokok elektronik (vape) dalam Dewan Rakyat semalam, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengaku di denda Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Luar itu menerusi akaun Twitternya membalas hantaran yang dibuat oleh seorang pengguna media sosial itu yang dikenali sebagai @chandhirha, mengakui kesilapannya dan memberitahu akan membayar denda dikenakan KKM.

“Yes, it was a mistake and I admitted it. I have always maintained that no one should be above the rules. @KKMPutrajaya has compounded me, and I will pay the fine. (Ya, ia satu kesalahan dan saya akuinya. Saya akui tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang. KKM telah mengenakan denda saya akan bayar)," ciapnya membalas hantaran tersebut.

Terdahulu, Hishamuddin telah mengemukakan permohonan maaf di Twitter dengan membalas hantaran dibuatMhd Shamin selepas tindakan menghisap rokok vape dalam Dewan Rakyat dirakamkan.

"Maaf, saya tidak sedar. Ia adalah tabiat baru.

"Saya minta maaf kepada Dewan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi," ciapnya.

Mhd Shamin sebelum itu berkongsi klip video berdurasi sembilan saat di Twitter yang menunjukkan Hishamuddin menghisap vape sambil memakai pelitup muka semasa persidangan sedang berjalan.

Permohonan maaf yang dibuat Ahli Parlimen Sembrong itu mencetuskan pelbagai reaksi dengan ada yang memuji sikap jujur beliau selain ada yang mengecam tindakan itu.