Kontroversi pemergiaan pasangan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz ke Pulau Langkawi pada saat negara berdepan dengan SOP ketat termasuk tidak boleh merentas negeri kerana mengekang virus COVID 19 masih belum berkesudahan.

Pasangan itu akan dipanggil pihak polis sebaik sahaja tiba dari Pulau Langkawi bagi proses merekodkan keterangan susulan dakwaan wujudnya pelanggaran terhadap kebenaran rentas negeri yang diberikan kepada pasangan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menjelaskan tindakan itu akan dibuat selepas pihaknya telah melakukan penelitian terutama daripada video dan gambar yang dimuat naik di akaun media sosial pasangan berkenaan yang turut didakwa sedang 'berbulan madu' di pulau peranginan itu.

"Pegawai penyiasat akan tanya dia (Neelofa dan PU Riz) apa dia buat di situ (Langkawi), adakah itu sebahagian daripada kegiatan perniagaan dia.

"Itu (video dan gambar yang dimuat naik) macam santai-santai sahaja, jadi (itu memang) tidak boleh kerana dia datang daripada negeri (yang dikuatkuasakan) PKPB (dan) datang ke kawasan (yang dilaksanakan) PKPP, dia (mereka berdua) tidak boleh langgar (kebenaran yang diberikan pihak polis).

"Kita akan sentiasa seboleh-bolehnya nak cepat (dalam siasatan kes melibatkan orang kenamaan atau selebriti), (sekarang ini polis) tunggu dia balik (dari Langkawi) dan kita akan tanya dia. Selepas itu baru kita tentukan (hukuman, jika didapati bersalah), terpulang kepada pegawai yang diberi kuasa hendak kenakan denda RM10,000 (atau nilai yang lain)," ujar beliau.

Abdul Hamid berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Seksyen K9 Bahagian Bantuan Teknik D6 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM di Langkawi pada Ahad.

Terdahulu, dalam hantaran di IG Story pada Khamis, Neelofa memberi bayangan bahawa kunjungannya ke pulau percutian itu bersama suaminya, Haris Ismail atau PU Riz adalah atas urusan perniagaan.

Penjelasan itu dibuat Neelofa selepas seluruh masyarakat membincangkan kontroversi perjalanannya merentas negeri menuju ke Pulau Langkawi.

Sebelum itu, sebuah syarikat pembekal makanan dan minuman popular, Chatime menjelaskan bahawa pengacara serta usahawan itu dan suaminya sedang melakukan lawatan kerja ke tiga lokasi di zon utara iaitu Sungai Petani dan Langkawi, Kedah dan Kangar, Perlis bagi tujuan pembukaan cawangan baharu.

Sementara itu, menerusi tinjauan Gempak di akaun Instagram Neelofa, khususnya Insta Story, hos tersebut dipercayai sudah pulang ke Kuala Lumpur dan kembali dengan aktivitinya sebagai seorang usahawan.

Instagram: @neelofa