Laman Utama
Hotel Istana Kuala Lumpur Umum Henti Operasi 1 September Ini
Ekoran mengalami kerugian disebabkan pandemik COVID-19, Hotel Istana Kuala Lumpur telah mengumumkan pemberhentian operasi pada 1 September ini.
Menurut Pengurus Besar Hotel berkenaan, Noorazzudin Omar berkata, pihak pengurusan sudah tiada pilihan lain selain menutup operasi hotel bertaraf lima bintang itu.
"Dengan rasa dukacita kami ingin memaklumkan keputusan untuk menutup operasi kami dijangka pada 1 September 2021.
"Kami membuat keputusan ini selepas membuat pertimbangan semasa, dan kami tiada pilihan selain daripada penutupan ini," katanya menerusi kenyataan dalam sepucuk surat semalam.
Tambah beliau, meskipun hotel tersebut digunakan sebagai pusat kuarantin pengurusan COVID-19, namun mereka sudah tidak mampu menanggung kerugian operasi bulanan.
Oleh demikian, para pekerja akan ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan akan dihubungi oleh pihak sumber manusia dalam waktu terdekat.
"Kami juga ingin memaklumkan pihak hotel akan menawarkan skim VSS kepada pekerja-pekerja.
"Pihak sumber manusia akan menghubungi anda untuk maklumat yang lebih terperinci dalam tempoh terdekat," katanya lagi.
Imbas kembali, Hotel Istana Kuala Lumpur siap dibina pada 1992.
Dimiliki oleh Tradewinds Corp Berhad, hotel mewah ini mempunyai 23 tingkat dengan 486 bilik.
Foto: AWANI
Must-Watch Video