Laman Utama
Hubungan Akrab Macam Keluarga, 13 Artis GV8 Bergabung Menyanyi Lagu Raya, Suasana Di Hari Raya Famili Kita
Barisan peserta program Gegar Vaganza 8 (GV8), Adibah Noor, Shidee, Ani Maiyuni, Azan Scan, Bandi Amuk, Dato Fazley Yaakob, Aliff Aziz, Aweera Nico G, Sa.Ya, Suki Low, Nikki Palikat dan Upiak Isil bergabung untuk merakamkan sebuah lagu raya lama bersempena lebaran tahun ini.
Diterbitkan oleh Oja yang juga alumni GV, lagu berjudul ‘Suasana Di Hari Raya’ nyanyian asal Anuar Zain dan Ellina, itu diberi nafas baharu dengan menggunakan tajuk ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’, menampilkan pelbagai rentak yang bersesuaian dengan genre yang dibawakan oleh semua artis yang terlibat.
Menurut Azan Scan, idea ini asalnya tercetus daripada Ani Mayuni menerusi perbualan kosong sesama mereka.
“Hubungan 13 orang artis yang terbina bermula sejak mereka menyertai sebuah program realiti menjadi semakin akrab seperti sebuah keluarga besar adalah sebab utama mengapa projek ‘suka-suka’ ini sungguh mudah untuk dijayakan,” ujarnya.
Para peserta GV8 ini ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’ yang bertempat di Wedding Studio, Shah Alam pada Jumaat.
Tambah Nikki dan Suki pula, pengalaman bekerja bersama keluarga GV8 sejak konsert hinggalah sekarang sangat menyeronokkan.
“Pertama kali mendengar idea menghasilkan lagu ini dicadangkan, kami memang sangat teruja. Pengalaman bekerjasama dalam projek ini sangat menyeronokkan dan kami tidak sabar untuk kongsikan dengan peminat-peminat,” jelas mereka.
Menggelarkan gabungan mereka sebagai ‘Famili Kita’ lagu berdurasi lebih empat minit itu telah menjalani penggambaran muzik videonya di sebuah penginapan inap desa berkonsepkan eko-pelancongan di Hulu Langat, Selangor.
Mula diedarkan sejak 8 April 2022 yang lalu, lagu ‘Suasana Di Hari Raya Famili Kita’ boleh distrim di semua platform muzik digital dan video muzik yang dilancarkan semalam boleh ditonton di platform YouTube.
Must-Watch Video