Hiburan
Hunny Madu Pernah Kecewa Lagu Tak Dimainkan Radio
Pengacara dan penyanyi Hunny Madu akui pernah kecewa apabila lagu yang dinyanyikan tidak dimainkan sesetengah stesen radio.
Hunny Madu atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 33, berkata sukar untuk sesetengah radio memainkan lagunya kerana ketika itu dia merupakan penyampai radio.
"Saya tak nafikan dulu saya pernah kecewa dan murung apabila lagu saya menerusi album pertama pada tahun 2011 sukar diterima stesen radio.
"Ketika itu, saya merupakan penyampai radio di sebuah stesen radio dan hanya radio tempat saya bertugas sahaja menerima lagu saya.
"Saya buntu ketika itu memikirkan kenapa sukar radio lain hendak menerimanya. Rupanya kerana saya masih berkhidmat di sebuah stesen radio.
"Saya rasa berbaloi apabila kini saya sudah tidak terikat dengan mana-mana stesen radio kerana lagu saya sudah mula diterima stesen radio lain," katanya kepada Astro Gempak
Hunny ditemui selepas pelancaran gincu Madu Cosmetics serta studio rakamannya HM Studio di Damansara kemarin.
Kini penyanyi lagu Go Hard itu berkata dia mahu fokus untuk menghasilkan album solo penuh yang dijangka muncul pada tahun hadapan.
“Dulu ketika sibuk di konti dan terikat tugasan sebagai penyampai radio, saya tidak dapat beri tumpuan nyanyian kerana kekangan masa, sedangkan inilah minat saya selama ini.
“Sekarang saya banyak habiskan masa di studio untuk cari material terbaik untuk ditampilkan dalam album baru nanti.
“Apatah lagi saya ada studio muzik sendiri dan memudahkan saya buat eksperimen dalam usaha untuk mencari sesuatu yang lebih fresh untuk peminat,” katanya lagi.
Teks oleh Syafiqah Jalal
Must-Watch Video