Anggota kumpulan K-Clique Tuju mengejutkan peminatnya apabila membuat pengakuan sudah berkahwin dengan penyanyi rap wanita, Loca B.

Tuju menerusi foto di ruangan Insta Story miliknya mendedahkan status mereka dengan ayat paling ringkas.

“I love you my wife” tulisnya.



Coretan itu juga dilengkapkan dengan foto Tuju bersama Loca B yang kini sedang hamil.

Manakala menerusi akaun Instagram Loca B pula, penyanyi itu sudah mula mendedahkan bahagian perutnya dengan memuat naik beberapa gambar seakan-akan memiliki ‘babybump’.

Ternyata pendedahan itu membuatkan peminat mereka terkejut kerana rata-ratanya menyangka pasangan ini belum mendirikan rumahtangga.

Bagaimanapun, Tuju dan Loca B meneriman ucapan tahniah daripada peminat mereka.

“La dah kahwin ke dorang ni baru tahu,” komen @blesseyra.

“Happy anniversary Loca B dan Tuju semoga jodoh korang kekal hingga ke Jannah dan sentiasa di lindungi oleh Allah,” doa @aienputri_.

Terdahulu, Loca atau nama sebenarnya, Hani Azali pernah membuat pengakuan dikasari sehingga anggota badannya lebam, namun menarik semula dakwaan terbabit tidak lama selepas pengakuan tersebut dibuat di media sosialnya.