Laman Utama

“Ia Adalah Bilik Standard Bagi…”- Tiada Istimewa, Najib Terima Layanan Sama Seperti Banduan Lain

gempak
Awani
27/09/2022
13:18 MYT
Sponsor Banner
“Ia Adalah Bilik Standard Bagi…”- Tiada Istimewa, Najib Terima Layanan Sama Seperti Banduan Lain
Peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini menafikan dakwaan pihak-pihak yang mengatakan bekas perdana menteri yang sedang menjalani hukuman penjara itu menerima layanan istimewa disebabkan keadaan kesihatannya.
Ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semasa mahkamah berhenti rehat ketika perbicaraan kes rasuah RM2.2 bilion Najib melibatkan 1Malaysia Development Bhd; Muhammad Shafee berkata anak guamnya itu menerima layanan yang sama seperti banduan lain.
Peguam itu turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Najib diberikan bilik kelas pertama di Hospital Kuala Lumpur (HKL) atau Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), dan berkata beliau yang telah melawat anak guamnya itu semasa dirawat di hospital berkenaan mendapati bilik yang diberikan adalah bilik standard sahaja.
"Tidak, (dakwaan itu) bohong semata-mata, langsung tidak berasas, ia adalah bilik standard bagi pesakit dalam kalangan banduan yang memerlukan rawatan sedemikian, itu (bilik) yang diberikan kepada dia (Najib), saya sendiri melihatnya.
"Jadi apa yang layanan istimewanya? Saya tidak faham. Tak ada (istimewanya)," katanya.
"Tak ada. Mungkin dari segi makanannya, disebabkan ulser, ya, mereka tidak boleh berikan dia makanan yang pedas, tidak boleh berikan makanan berminyak," tambahnya.
Ditanya sekiranya Najib mendapat makanan dari luar (penjara), Shafee berkata keluarga Najib sendiri tidak dibenarkan membekalkan makanan kepada Najib kerana dietnya perlu dipantau, disebabkan keadaan kesihatannya.
Beliau berkata tekanan darah Najib masih tinggi, dan pihak berkuasa penjara sedang memantau dietnya.
Pada 21 Sept lepas, Jabatan Penjara mengesahkan Najib dimasukkan ke HRC untuk rawatan susulan, dan akan kembali ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman sebaik sahaja dia selesai dengan rawatannya.
Najib, 69, dimasukkan ke Penjara Kajang pada 23 Ogos lepas setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024