Vokalis kumpulan OAG, Radhi setia menyarung baju-baju milik arwah ibunya, Allahyarham Fatimah Wee Abdullah, 66, yang meninggal dunia pada 14 Januari lalu akibat kanser usus.

Ujar Radhi, cara itu membuatkannya dekat dan tetap mengabadikan memori terindah dengan arwah ibunya sebagai insan paling memahami dan rapat dengannya.

"Tengok ni, saya masih pakai baju arwah mak saya dan cincin dia. Sejak dulu lagi, saya memang kongsi baju dengan arwah mak sebab saiz kami lebih kurang sama.

"Kalau perasan pun, sebelum ini masa buat show saya memang akan pakai baju-baju mak. Itu buktinya hubungan kami benar-benar rapat," katanya kepada Gempak.

Radhi ditemui pada majlis pelancaran Sudut Produk Selebriti & Amirul Grocer Cawangan Shah Alam, di Seksyen 15 Shah Alam pada Sabtu.

Melanjutkan bicara, Radhi memaklumkan ibunya menderita kanser usus tahap empat sejak beberapa bulan lalu dan reda dengan pemergian arwah.

"Arwah mak meninggal dunia di rumah saudara di Kampung Tungku, SS1 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 10, Kota Damansara.

"Mak ‘pergi’ selepas 40 hari abang sulung saya, Termidzi Razali yang meninggal dunia juga kerana kanser iaitu kanser darah dan kulit," ujarnya yang masih berpegang pada pesanan ibunya untuk menjadi insan lebih baik.

Justeru, Radhi berhasrat untuk mengadakan ‘showcase’ khas sebagai usaha mencari wang untuk pembayaran bil hospital yang tertunggak sebanyak RM18,000.

Showcase itu dijadualkan berlangsung di Bayang Coffee Kafe, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada Mac sebelum Ramadan tahun ini.

Bagaimanapun, harga tiket dan perincian lain belum diputuskan dan akan diberitahu kepada para peminat dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, Radhi kini dalam proses memasarkan produk madu sunnah dan ‘propolis’ sebagai sumber pendapatan di Amirul Grocer selain membekalkan produk sejuk beku roti puri jenama Tisha.

Gempak Most Wanted is back! Korang boleh mula mengundi artis kesayangan korang di sini.

Selain itu, teruskan mengundi untuk Top5 Anugerah MeleTOP ERA 2021 di sini #YangFreshYangLegend

Saksikan AME 2021 pada 30 Januari ini secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di saluran Astro Ria, jam 9.00 malam.