VIRAL
Ibu Zara Qairina Nafi Tuduh Sesiapa, Tidak Kaitkan Kematian Anak Dengan VVIP
Ibu kepada Zara Qairina Mahathir, pelajar yang maut di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah menafikan membuat pelbagai tuduhan termasuk mengaitkan kematian anaknya itu dengan kenamaan bergelar VVIP.
Menurut peguam bela yang mewakili Noraidah Lamat, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, anak guamnya itu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengaitkan kematian Zara Qairina dengan mana-mana individu.
Katanya, dakwaan pembunuhan kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian di sekolahnya itu serta perpindahan tiga pelajar dari Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan juga tidak diketahuinya.
"Noraidah, ibu kepada Zara Qairina tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian Zara Qairina dengan mana-mana individu VVIP. Sebarang andaian atau dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam kami.
"Anak guam kami juga tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan berkaitan dakwaan kononnya terdapat teriakan kau pembunuh oleh para pelajar kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian. Ia hanyalah diketahuinya menerusi hantaran yang tular di media sosial.
"Beliau juga tidak ada mengeluarkan kenyataan mengenai adanya tiga pelajar sekolah dipindahkan dari SMKA Tun Datu Mustapha pada hari kematian Zara Qairina. Maklumat itu hanya diketahuinya selepas ia tular di media sosial," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Zara Qairina ditemui kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu, dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.
Pelajar itu meninggal dunia di hospital keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Bagaimanapun, pelbagai desas-desus berlegar di media sosial termasuk mengaitkan kejadian menimpa Zara Qairina itu sebagai kes buli.
Istana Seri Kinabalu dalam satu kenyataan turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular dalam media sosial yang mengaitkan kes itu dengan keluarga Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Media semalam turut melaporkan polis sudah merakam keterangan 60 saksi berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina yang didakwa menjadi mangsa buli, termasuk tiga individu dengan nama panggilan Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi.
Justeru, peguam bela berkenaan meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan sama ada terhadap Zara Qairina, Noraidah dan individu lain.
"Tindakan menyebarkan dakwaan palsu boleh mengganggu siasatan polis dan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak.
"Sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan polis boleh disalurkan kepada pihak polis atau kepada kami," katanya.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video