Laman Utama
Idris Khan Dikhabarkan Sudah Bernikah Dalam Diam, Ini Jawapan Empunya Badan
Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba pelakon Idris Khan dikhabarkan sudah mendirikan rumah tangga namun aktor itu tampil menafikan dakwaan tersebut.
Menegaskan ia hanya khabar angin, Idris berkata statusnya masih solo dan belum mempunyai calon isteri untuk menamatkan zaman bujangnya.
“Bila saya berkahwin? Itu hanyalah khabar angin. Saya bukan suami orang. Tapi kalau ada calon yang sesuai, mengapa tidak. Tapi jujurnya saya masih belum berkahwin.
“Namun apa saja boleh berlaku, kita tak tahu. Kita lihat saja nanti. Saya pun tidak mencari calon buat masa ini, saya hanya berseronok dengan kehidupan saya dan fokus pada kerja saya.
“Kalau ada sinar (berkahwin), saya akan beritahu, buat masa sekarang sinar itu belum nampak lagi,” kata Idris kepada Gempak.
Idris berkata demikian ketika ditemui di Rizman Ruzaini Fall Winter 2023 dan Raya 2023 yang diadakan di Hotel ST Regis, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebelum ini, Idris pernah mengakui dia sedang menjalinkan hubungan bersama seorang wanita berasal dari Maghribi yang dikenali sebagai Sanaa Jaffer.
Bertanya mengenai status mereka, Idris berkata dia dan Sanaa masih lagi rapat namun belum ada perancangan untuk membawa hubungan itu ke peringkat yang lebih serius.
“Kami masih lagi berkawan macam biasa tapi masing-masing fokus dengan karier masing-masing. Kami masih rapat, tapi belum ke tahap itu (berkahwin).
“Jujurnya saya sekarang lebih fokus pada karier saya sebab terlalu banyak benda yang saya usahakan. Jadi belum masanya untuk saya mendirikan perkahwinan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Idris memberitahu sekiranya sampai seruan untuk berkahwin, dia mahukan wanita yang bukan berasal dari industri seni.
“Sebab contohnya, saya pergi kerja nanti balik topik yang sama juga kami borak. Ia membosankan. Jadi untuk jangka masa panjang kita perlukan seseorang yang dari industri berbeza, baru seronok,” katanya.
Must-Watch Video