HIBURAN
Iman Troye Dedah Hilang Pendengaran Akibat Kemalangan, Perlu Rawatan Tahunan – “Saya Pun Baru Perasan”
Kesan daripada kemalangan yang berlaku pada dua tahu lalu, penyanyi Iman Troye mendedahkan dia kini berdepan dengan masalah pendengaran di telinga kanan.
Menurut Iman atau nama sebenarnya, Siti Alyssa Sahabudin, dia menyedari perkara tersebut selepas menjalani pemeriksaan lanjut ketika ditahan wad di sebuah hospital baru-baru ini.
Lebih mengejutkan, Iman hanya menyedari perkara itu selepas menjalani pemeriksaan lanjut dengan doktor.
"Mula-mula saya tak perasan. Saya masuk hospital sebab hilang pendengaran di sebelah kanan akibat kemalangan dulu. Doktor sahkan saya dah kehilangan 10 hingga 15 peratus pendengaran selama dua tahun, jadi mereka risau dengan keadaan saya.
"Saya pun baru tahu sebenarnya. Awal-awal, saya tak perasan sebab bunyi dalam telinga lebih kurang sama. Tapi bila makin hilang, baru saya sedar. Kalau pakai headphone, belah kanan tu memang slow sikit," katanya kepada Gempak.
Iman berkongsi perkara itu ketika menghadiri sidang media EP: Janji Raya Iman Troye di TGV Cinemas, Suria KLCC, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Bunyi Nyaring Dalam Telinga Semakin Kerap
Menurut penyanyi Bunga Kemboja, dia kini sering mengalami bunyi nyaring dalam telinga, terutama apabila berada dalam keadaan tertekan atau keletihan.
"Kalau saya stres, telinga saya akan berbunyi nyaring. Sampai sekarang masih berlaku dan makin kerap. Kadang-kadang agak mengganggu juga," jelasnya.
Tiada Rawatan Penyembuhan, Hanya Boleh Diperlahankan
Bercerita lanjut, Iman memaklumkan kehilangan pendengarannya tidak boleh dirawat sepenuhnya, namun doktor menyarankan rawatan khas bagi mengawal keadaan supaya tidak bertambah teruk.
"Doktor cakap kalau dah lost hearing, memang tak ada cure. Saya hanya boleh buat rawatan setiap tahun untuk perlahan dan kawal supaya tak bertambah teruk.
"Saya pernah ke wad kecemasan selepas kemalangan, doktor ingatkan hentakan tu biasa saja. Tapi bila check balik, baru doktor sahkan saya dah hilang pendengaran sebanyak 10 ke 15 peratus selama dua tahun tanpa saya sedar,” kongsinya.
Perlu Kurangkan Bunyi Kuat & Penggunaan Earphone
Dalam masa sama, Iman mengakui dia kini perlu lebih berhati-hati dan mengawal bunyi persekitaran untuk memastikan keadaannya tidak semakin serius.
Antara langkah penjagaan yang diambilnya termasuk mengurangkan penggunaan earphone serta mengelak daripada bunyi kuat.
"Kalau saya berada di tempat muzik yang terlalu kuat atau orang bercakap dengan suara tinggi, bunyi itu boleh masuk ke telinga dan terus berdesing. Jadi saya kena limitkan diri, kurangkan dengar lagu pakai earphone.
"Bukan tak boleh dengar, tapi tak boleh guna volume tinggi sangat sebab boleh beri tekanan pada telinga saya.
"Saya masih boleh dengar, cuma bunyi tu saya tak enjoy sangatlah. Tapi saya okay je.
"Bagi orang lain mungkin 10 ke 15 peratus tu tak banyak mana, tapi untuk doktor, kehilangan sebanyak itu dalam tempoh dua tahun agak teruk sebab saya tak jaga dengan betul. Kalau saya terus abaikan, peratusan tu boleh turun lagi," ujarnya.
Perlu Jalani Rawatan Setiap Tahun
Buat masa sekarang, Iman perlu menjalani rawatan berkala bagi memastikan tahap pendengarannya tidak merosot.
"For now, saya boleh lagi buat treatment untuk jaga pendengaran saya betul-betul. Saya akan lebih berhati-hati selepas ni," kongsinya.
BERITA BERKAITAN: “Sebenarnya Saya Nak…” - Iman Troye Nafi Laporan Polis Hanya Gimik, Dedah Hubungan Dengan Aliff Syukri Memang Tak Pernah Okay
BERITA BERKAITAN: Konsert Mini House Party Raikan Kolaborasi XO House, High Cultured! - "Kami Punyai Jalur Misi Yang Sama"
BERITA BERKAITAN: Duet Lagu Wildflower Dengan Iman Troye, Ramai Netizen Puji Nyanyian Dahlia Rizal - “Satu Dunia Terkejut Suara Dia Sedap”
BERITA BERKAITAN: Mahu Ceburi Bidang Perniagaan, Iman Troye Bakal Lancar Produk Jenama Sendiri - “Orang Yang Saya Kenal Sebelum Ini Bagi Idea Tapi…”
Must-Watch Video