Prestasi pelakon cilik Archie Yates menerusi filem komedi tidak perlu disangkal lagi. Bermula dengan naskhah Jojo Rabbit pada 2019, Archie kini kemudiannya meluaskan pengaruhnya dalam bidang lakonan menerusi filem Home Sweet Home Alone.

Mengakui gemar menonton dan melibatkan diri dalam penghasilan filem berbentuk komedi, namun, bagi pemain filem berusia 12 tahun ini, sudah tiba masa untuk mencuba sesuatu yang berlainan untuk mengembangkan lagi portfolio seninya,

“Satu topik yang bagus untuk dibincangkan apabila ada yang bertanya tentang jenis projek yang akan saya jayakan pada masa akan datang.

“Melihat kembali filem saya yang pernah saya jayakan terdahulu, kebanyakannya berteraskan komedi. Dan saya akui, komedi juga merupakan salah satu genre kegemaran saya untuk dijadikan bahan tontonan. Saya juga gemar menjayakan filem yang digarap khas untuk tontonan seisi keluarga.

“Namun, apabila sudah meningkat usia, saya sedar yang saya boleh melakukan banyak perkara dalam karier lakonan saya. Sekarang, saya sudah mula explore genre-genre berbeza seperti drama,” katanya menerusi sidang media virtual Home Sweet Home Alone yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam pada itu, Archie memberitahu yang dia sedang dalam proses menulis skrip dan bercita-cita untuk menjadi pengarah filem suatu hari nanti.

“Selain explore genre berbeza, saya juga sedang menulis skrip yang bertemakan komedi aksi. Bukan itu sahaja, saya juga bercita-cita untuk menjadi pengarah suatu hari nanti,” katanya.

Ditanya mengenai lakonannya dalam Home Sweet Home Alone, Archie berkata, dia inginkan penonton menyaksikan jalan cerita berbeza yang diangkat dalam filem terbaharu daripada francais Home Alone itu.

“Tidak banyak inspirasi yang saya ambil daripada filem Home Alone terdahulu, sungguhpun saya menonton filem-filem berkenaan setiap kali tibanya sambutan Hari Natal. Hal ini kerana, ia Home Sweet Home Alone menampilkan jalan cerita berbeza walaupun berkongsi universe yang serupa,” katanya lagi.

Home Sweet Home Alone mengisahkan tentang Max Mercer yang terpaksa tinggal di rumah selepas ibu dan bapanya terbang ke Tokyo terlebih dahulu untuk bercuti.

Sungguhpun pada awalnya dia gembira kerana tinggal berseorangan dan boleh melakukan apa sahaja, namun, segalanya berubah apabila pasangan perompak, Pam dan Jeff Fritzovski merancang untuk mencuri harta pusaka berharga dalam rumahnya. Home Sweet Home Alone kini boleh distrim menerusi Disney+ Hotstar.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!