Laman Utama
Individu Enggan Divaksin, Ini Langkah Yang Mungkin Diperkenalkan KKM...
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang kemungkinan untuk memperkenalkan dasar ujian saringan kebangsaan yang akan diwajibkan bagi individu enggan menerima vaksin COVID-19 tanpa alasan perubatan.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ujian saringan yang mungkin diadakan secara berjadual itu adalah tindakan susulan kerajaan masih belum mewajibkan pemberian vaksin kepada semua penduduk Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menggalakkan individu yang lengkap divaksin mendapat keistimewaan berbanding mereka yang belum divaksin.
"Saya akan bincang dengan pasukan di KKM untuk lihat apa yang boleh dilakukan terhadap kelompok yang enggan mendapatkan vaksin dan tidak mempunyai sebarang alasan kesihatan untuk menghalang mereka daripada mendapatkan pelalian.
"Perkara ini adalah antara yang sedang dilihat iaitu strategi ujian saringan kebangsaan atau dasar ujian saringan kebangsaan selepas ini.
"Selepas kita memasuki fasa endemik, jika anda divaksin atau tidak, anda perlu menjalani ujian saringan secara kerap.
"Atas sebab itu kita mahu menjadikan ujian lebih mudah dan murah untuk didapati.
"Bagi mereka yang enggan mendapatkan vaksin perlu menjalani ujian saringan secara berjadual. Namun pilihan saya jika anda tidak mempunyai alasan perubatan untuk tidak mengambil vaksin, pergilah dapatkan vaksin," kata beliau dalam sidang media kementeriannya semalam.
Difahamkan, perkara itu masih belum sampai ke tahap cadangan kepada Kabinet setakat ini.
Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama mendapatkan vaksinasi lengkap (jika tiada halangan dari segi perubatan) sebagai satu usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di negara kita.
Setelah lengkap divaksin, segala SOP harus terus dipatuhi selain mengamalkan semua penjagaan kebersihan dan kesihatan diri yang baik.
Sumber: BH Online
Kredit Foto: BERNAMA
Must-Watch Video