Semalam, viral di media sosial apabila Pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Soberi Awang, 59, meninggal dunia ketika menyampaikan kuliah Subuh di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.

Menerusi rakaman yang tular, beliau yang pada ketika itu sedang berucap dilihat menahan sakit sebelum menunduk lalu tidar sedarkan diri.

Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital. Hasil bedah siasat, beliau meninggal dunia akibat serangan jantung.

Selain itu, ayat Al-Quran terakhir yang disampaikan oleh beliau pada kuliah subuh berkenaan turut menggamit sayu dalam kalangan netizen. Menerusi hantaran Dr Zulkifli Al-Bakri di platform X, ayat tersebut dipetik daripada surah Ibrahim ayat 48.

Ayat tersebut bermaksud: “…dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) berkumpul menghadap ke hadrat Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.”

Dr Zulkifli juga memberitahu, beliau amat terkejut dengan pemergian Soberi yang digelarkan sebagai sahabat lamanya.

“Dengan bentuk kematian yang berlaku, saya dengan sangkaan baik yang tinggi menganggap ia adalah petanda almarhum meninggal dunia dalam husnul khatimah,” katanya.

BACA: Bapa Sharifah Zarina Meninggal Dunia, Rebah Ketika Solat Sunat

BACA: Dijemput Ilahi Ketika Solat Tarawih​