Penyanyi senior berbakat, Francissca Peter berasa kesal dengan tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang akan membawa masuk kumpulan penyanyi popular Korea, BTS ke negara ini.

Menurut Francissca, dia berasa terhina dengan perkara itu, kerana berpendapat usaha keras artis tempatan tidak dihargai.

"Terus terang saya katakan, saya tidak begitu gembira dengan perkara ini, mengapa perlu mengundang artis luar negara untuk adakan persembahan berskala besar?

"Perkara itu merupakan satu penghinaan buat kami sebagai penggiat seni tempatan.

"Negara kita sudah punyai banyak artis yang berkualiti namun pada masa yang sama, ramai juga di antara kami yang menerima bayaran yang sangat rendah, boleh diibaratkan seperti artis 'mesin karaoke' sahaja," katanya kepada Gempak.

Francissca ditemui di sidang media A Night With Legends Desaru Coast bertempat di Restoran Rebung, Kuala Lumpur petang semalam.

Dalam pada itu, pelantun lagu Sekadar Di Pinggiran ini turut mencabar Syed Saddiq untuk menganjurkan sebuah konsert besar-besaran dengan dana yang sama khas buat artis tempatan untuk menonjolkan bakat mereka.

"Jika kami diberi bajet yang sama, kami akan beri persembahan yang memukau, pilih saja artis tempatan yang disukai, ketika itu saya akan tunjukkan maksud persembahan yang sebenar," tambahnya lagi.