Mahkamah Koroner Shah Alam pada Jumaat memutuskan kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca daripada tindakan jenayah lebih seorang individu tidak dikenali.

Hakim Koroner, Rofiah Mohamad mengumumkan keputusan itu sebentar tadi.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

"Saya merumuskan bahawa kecederaan lung chest trauma yang dialami Muhammad Adib adalah bukan perbuatan diri," katanya kepada Astro Awani.

Mahkamah Koroner menyerahkan kes ini kepada peguam negara dan polis untuk menjalankan siasatan pendakwaan.

Pada 27 Nov lepas, Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Sepanjang inkues itu dijalankan, 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.

Antara saksi pakar yang dipanggil ialah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Susulan insiden itu, pada 28 Dis lepas, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara simbolik menyerahkan kenaikan pangkat Gred KB22 kepada bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid.

KPKT menyifatkan pengorbanan Muhammad Adib sehingga terkorban ketika rusuhan itu sebagai wira negara.

Sumber: Astro Awani