Pengsohor media sosial popular, Iqbal Zulkefli mendedahkan amalan yang sering dilakukan untuk mencapai kejayaan seperti apa yang diraihnya hari ini.

Menerusi sesi soal jawab NGL yang dimuat naik di Instagram Story, Iqbal berkata, sejak dari kecil, setiap hal yang didoakan kebanyakannya pasti akan diterima.

“Saya tidaklah berjaya yang betul-betul stabil lagi sebenarnya. Cuma saya ingat, sejak kecil setiap perkara yang saya doakan biasanya dapat.

“Bukan tentang rezeki sahaja. Saya tiada amalkan yang mendalam sangat. Cuma berpegang pada surah-surah yang saya hafal sejak kecil dulu, saya takkan tinggal setiap kali meminta hajat,” katanya.



Dalam pada itu, Iqbal turut berkata, dia sering membaca surah Al-Fatihah ketika menangis meminta simpati daripada Allah.

“Contohnya, surah Al-Fatihah, itu sahaja surah yang saya baca ketika menangis meminta simpati dari Allah. Sampai sekarang pun saya tetap baca surah ini.

“Kalau dulu saya menangis, saya solat hajat. Sama juga seperti sekarang, kalau saya tujukan sesuatu, cara itulah saya buat. Memang nampak ringkas, namun itulah pegangan kita.

“Kita tidak mahu Allah tinggal kita dan bagi saya, setiap kali saya amalkan amalan ringkas yang lama-lama dulu, itu menandakan saya tetap setia pada Allah di saat susah dan senang,” katanya lagi.