Berita
Isteri Dr Sheikh Muszapahar Terpaksa Dibedah Ketika Usia Kandungan Kembar Pra Matang
Isteri kepada angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar iaitu Dr. Halina terpaksa menjalani pembedahan melahirkan anak kembar mereka yang baru berusia 34 minggu dalam kandungan.
Sheikh Muszapahar berkata isterinya menghidap pre-eclampsia yang mana nyawa ibu dan bayi berada dalam keadaan bahaya jika tidak dirawat.
“Sedang menunggu untuk dibedah ketika usia kandungan 34 minggu.
“Dr Halina menghidap keadaan kritikal yang disebut pre-eclampsia yang boleh membawa maut kepada ibu dan anak kembar jika tidak dirawat.
“Ia biasanya berlaku pada ibu mengandung pada 34 minggu yang berkaitan dengan tekanan darah, bengkak dan protein tinggi dalam air kencing,” katanya.
Sheikh Muszapahar berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Semalam, angkasawan itu memaklumkan isterinya terpaksa ditahan di wad kerana keadaan kandungan yang membimbangkan.
Menjelaskan lagi tentang penyakit yang dihadapi isterinya, beliau memberitahu ia berpunca dari banyak faktor.
“Puncanya? Banyak faktor seperti usia 40 tahun, kehamilan kembar itu sendiri antara lain.
“Masalahnya timbul dari plasenta itu sendiri yang melibatkan buah pinggang dan hati dan sebab itu pentingnya mengeluarkan kembar secepat mungkin.
“Steroid diberikan untuk membantu kematangan paru-paru kerana bayi baru berusia 34 minggu,” jelasnya.
Sheikh Muszaphar memberitahu pembedahan dijadualkan esok tetapi mereka masih berharap jika ia dapat dilambatkan.
“Rancangannya adalah untuk melakukan pembedahan esok tetapi kami berharap dapat menunggu sedikit lebih lama.
“Anak kembar sekarang berada pada berat 2.2 kg dan 2.4 kg dengan kadar denyutan jantung yang baik dan tidak sabar untuk keluar. Begitu juga dengan kami tetapi sila tunggu sedikit lagi,” katanya lagi.
Dr. Sheikh Muszaphar dan Dr. Halina mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha dan kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah.
Must-Watch Video