Laman Utama
Isteri Pandai Masak, Berat Badan Shahir Naik Mendadak!
Penyanyi Shahir Zawawi mengakui sedang mengalami perubahan berat badan selepas selamat mendirikan rumah tangga bersama Jaskin Jaludin pada September lalu.
Jelas Shahir, kehidupannya kini lebih terurus dan pemakanannya juga terjaga berbanding zaman bujangnya.
"Selepas kahwin saya semakin berisi. Alhamdulillah, semuanya lebih teratur dan pemakanan juga terjaga.
"Kalau nak tanya berapa banyak badan naik, anda tengok sudah tahu. Isteri saya memang pandai memasak.
"Masa bujang saya boleh kawal pemakanan, tetapi sekarang, bila isteri masak takkan saya tak nak makan," katanya kepada Gempak.
Shahir yang ditemui selepas konsert Nasyid Legenda di Dewan Sivik, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini lebih terbuka dan tidak tertekan dengan perubahan bentuk badannya.
"Kalau dulu, saya tidak suka keluar media sosial apabila badan saya berisi. Tetapi, sekarang saya amalkan konsep reda apabila bersama ustaz.
"Jadi, saya reda sahaja berat badan sekarang. Yang penting, saya sihat," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Shahir akan menjadikan rakaman majlis perkahwinan sebagai video muzik single baharu berjudul Halal yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Untuk rekod, Shahir selamat diijabkabulkan dengan Jaskin dengan sekali lafaz di sebuah premis perkahwinan di One City, Subang Jaya pada 3 September lalu.
Shahir mengikat tali pertunangan dengan wanita kelahiran Tawau, Sabah itu pada 16 Julai lalu selepas mengenalinya menerusi Instagram (IG) pada Aidilfitri lalu.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!
Must-Watch Video