Sekilas
- Rich Gimbang mengumumkan dia dan kumpulan Estranged tidak lagi berminat menyertai program realiti televisyen selepas lebih 20 tahun dalam industri muzik.
- Rich berpendapat menyertai program realiti boleh mencalarkan imej artis dan tidak perlu membuktikan apa-apa lagi kepada panel juri atau penonton.
- Walaupun begitu, Rich tetap menyokong isterinya, penyanyi Velvet, jika dia memilih untuk menyertai program realiti bagi mengukuhkan kerjaya nyanyiannya di Kuala Lumpur.
Penyanyi, Rich Gimbang mendedahkan dia tidak lagi berminat untuk menyertai sebarang program realiti televisyen selepas mengambil kira perjalanan karier seninya selama lebih dua dekad.
Menurut Rich, keputusan itu turut dipersetujui oleh ahli kumpulan Estranged yang sepakat untuk tidak lagi menyertai mana-mana pertandingan atau program realiti pada masa akan datang.
"Saya sudah berbincang dengan ahli kumpulan yang lain (Estranged), kami sepakat untuk tidak lagi menyertai sebarang program realiti.
"Bagi saya, sekiranya saya menyertai program realiti ia seperti mencalarkan imej sebagai artis. Saya sudah bergelar artis selama 20 tahun, jadi tidak lagi perlu untuk menyertai program realiti untuk membuktikan sesuatu.
"Panel juri pun macam Datuk Syafinaz adalah rakan artis juga. Saya tidak rasa perlu dihakimi oleh mereka kerana saya memerlukan mereka untuk bekerjasama dalam mencipta karya muzik," katanya kepada Gempak.
Tambah Rich, dia secara peribadi kurang menggemari konsep program realiti televisyen yang disifatkan mempunyai elemen tertentu bagi memenuhi kehendak penerbitan.
"Saya tidak berapa gemar menyertai program realiti kerana ia seakan-akan 'dibuat-buat'. Itulah namanya program realiti televisyen. Kita semua tahu konsepnya, kan?
"Sewaktu di Akademi Fantasia, saya sudah banyak belajar tentang dunia realiti TV ini. Velvet (isteri) saya juga ada ditawarkan untuk menyertai program realiti.
"Nasihat saya kepadanya, saya rasa dia tidak perlu menyertainya. Namun, saya rasa perlu juga berikan sokongan kepadanya," ujarnya.
Bagaimanapun, pendirian Rich terhadap penyertaannya sendiri dalam program realiti tidak bermakna dia menghalang isterinya, penyanyi Velvet untuk mencuba peluang tersebut.
"Kerjaya Velvet sangat kuat di Sabah. Kerjaya nyanyiannya mungkin tidak berapa kuat di Kuala Lumpur.
"Peminat mungkin sudah terlupa dengan kehadiran Velvet. Bila difikirkan, saya perlu juga berikan sokongan dan tidak boleh pentingkan diri sendiri.
"Saya cuma beri pendapat mungkin belum tiba masanya untuk dia (isteri) masuk program realiti dan mulakan kerja-kerja berkempen untuk meraih undian penonton. Tapi kalau memang dia nak sertai, saya akan berikan sokongan," katanya lagi.