Isu kesihatan mental bukanlah satu hal yang baharu. Sungguhpun ia mungkin dipandang remeh oleh sesetengah orang, namun penjagaan kesihatan mental perlulah dititik beratkan, sama seperti kita menjaga kesihatan tubuh secara keseluruhan.

Hal ini turut dipersetujui oleh pelakon Datin Sofea Jane. Menerusi sesi sidang media virtual drama I-Tanggang yang dijalankan baru-baru ini, pelakon berusia 49 tahun itu mengajak orang ramai supaya sama-sama memupuk kesedaran terhadap betapa pentingnya menjaga kesihatan mental menerusi drama berkenaan.

“Kita sering melihat isu kesihatan mental dipandang remeh atau tidak dibincangkan oleh banyak orang. Sebab itu saya rasa drama I-Tanggang ini bakal menjadi sebuah platform untuk menyampaikan maklumat yang lebih mendalam tentang penyakit mental kepada penonton.

“Dalam masa yang sama, tayangan drama ini boleh dikatakan berlaku dalam masa yang tepat. Sepanjang dua tahun kita melalui pandemik COVID-19 dan isu kesihatan mental merupakan isu yang hangat diperkatakan,” katanya.

Drama arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin, Wan Alauddin Wan Zainuddin dan juga pelakon popular, Rashidi Ishak ini mengangkat mesej tentang penyakit mental Munchausen Syndrome By Proxy. Penyakit ini merupakan penyakit mental yang menyebabkan penderitanya sanggup untuk mendera seseorang demi meraih perhatian dan wang.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofea Jane, Andy Teh dan Rashidi Ishak, drama I-Tanggang bakal disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.