Sekilas
- Pak Cik Ariffin, 60 tahun, berjaya menamatkan cabaran Ironman 70.3 Langkawi dalam masa tujuh jam 19 minit 57 saat.
- Beliau melengkapkan tiga disiplin utama iaitu berenang, berbasikal dan berlari dengan pemakaian yang mematuhi prinsip syariah.
- Kejayaan Pak Cik Ariffin mendapat pujian ramai dan menjadi inspirasi, terutamanya selepas larian 30 km tanpa kasut dalam acara MTNU sebelum ini.
Seorang warga emas dikenali sebagai Pak Cik Ariffin menyorot perhatian apabila berjaya menamatkan cabaran Ironman 70.3 Langkawi pada usia 60 tahun.
Menerusi video yang dimuat naik @arenamalaysia.asia di Threads, dapat dilihat Pak Cik Ariffin atau nama sebenarnya Ariffin Abdul Manan berjaya menamatkan cabaran tersebut dalam tempoh tujuh jam 19 minit 57 saat.
Sepanjang tujuh jam 19 minit itu, Pak Cik Ariffin telah berjaya menyelesaikan ketiga-tiga disiplin dalam pertandingan berkenaan iaitu berenang, berbasikal dan berlari.
Hantaran tersebut kemudiannya tular dan meraih perhatian ramai yang rata-ratanya menzahirkan ucapan tahniah terhadap Pak Cik Ariffin.
Malah, mereka juga memuji pemakaian Pak Cik Ariffin yang dilihat bertepatan dengan prinsip syariah.
“Tak ada baju mahal, tak ada jam mahal, tak ada kasut mahal tapi padu.
“Contohi pakcik ini. Tak perlu ketat sana sini, tak podium tapi maintain padu dengan umur dia tu.
“Pak cik Ariffin ni telah set satu benchmark yang tinggi kepada yg lain. Di kala org kata umur 50-60an ni patut ulang alik masjid, tapi pak cik telah buktikan agama dan sukan tu boleh jalan seiring. Kami bangga dengan pak cik,” antara komen netizen.
Sebelum ini, namanya turut menjadi perhatian selepas berjaya menamatkan larian sejauh 30 kilometer (km) tanpa memakai kasut menerusi acara Malaysia Taman Negara Ultra (MTNU).
Sumber: Threads