Bakal menimang cahaya mata perempuan, penyanyi Datuk Jamal Abdillah memaklumkan isterinya iaitu Datin Zai Izzati Khiruddin akan melahirkan bayi mereka pada 14 April ini.

Menurut Jamal, isterinya akan melahirkan anak bongsu mereka secara pembedahan mengikut tarikh yang ditetapkan oleh doktor.

"Alhamdulillah, sambutan hari raya Aidilfitri saya sekeluarga tahun ini bersama cahaya mata baharu yang juga bayi perempuan akan dilahirkan isteri pada 14 April ini secara pembedahan.

"Ikutkan saya, mahu tarikh 1 April sempena ulang tahun perkahwinan yang ke-6, tapi doktor kata tarikh itu tidak sesuai sebab kandungan belum cukup,” katanya kepada Gempak.

Jamal turut meluahkan rasa syukur kerana sudah melengkapkan cahaya matanya bersama Zai Izzati dengan memiliki dua anak lelaki dan dua anak perempuan.

Jamal ditemui di majlis berbuka puasa dan pelancaran lagu raya terbaharu, Rindu Di Hari Lebaran ciptaan S Atan dan lirik oleh Siso yang diterbitkan FMC Music di Hotel Tenera Bangi, Selasa.

Jamal mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017. Hasil perkongsian hidup itu, mereka sudah memiliki tiga anak iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani atau Zack, 2, dan Iskandar Rayyan Yamani kini berusia setahun.

Menerusi perkahwinan terdahulunya, Jamal memiliki dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.