Laman Utama

Jangan Fitnah! Didakwa Guna Wang Rakyat Naik Pesawat Mewah, Ini Penjelasan Menteri Agama

gempak
Mya Amri
14/04/2021
00:00 MYT
Sponsor Banner
Jangan Fitnah! Didakwa Guna Wang Rakyat Naik Pesawat Mewah, Ini Penjelasan Menteri Agama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan penjelasan berikutan video tular merakamkan beliau menaiki sebuah pesawat mewah Ketika lawatan kerja ke Arab Saudi.
Penjelasan itu dilakukan beliau menerusi satu bebenang di akaun Twitter miliknya semalam.
Menurut beliau, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana lawatan kerjanya ke negara tersebut ditaja sepenuhnya oleh Liga Muslim Sedunia (MWL).
“Saya cuma mendapat makluman berkenaan video yang telah tular, beberapa ketika tadi. Melihat komen dan kenyataan yang dikeluarkan, perlu bagi saya untuk menyatakan beberapa penjelasan.
“Alhamdulillah, ramai juga yang bertanya kepada saya terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa andaian. Saya doakan semoga Ramadhan kali ini mampu mendidik jiwa kita ke arah yang diredhai-Nya.
“Penerbangan daripada Riyadh ke Madinah seperti dalam video tersebut diuruskan sepenuhnya oleh Liga Muslim Sedunia (Muslim World League).
“Ini berikutan jemputan Diraja oleh Gabenor Madinah, YM Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud kepada saya untuk bertemu baginda di Madinah. “Baginda amat sukacita apabila mendapat tahu ada seorang Menteri daripada Malaysia, berkelulusan Universiti Islam Madinah telah datang ke Saudi atas urusan negara. Atas sebab itulah jemputan Diraja dizahirkan berserta dgn pesawat berkenaan.
“Ingin saya nyatakan bahawa semua program dan mesyuarat penting berkaitan haji, umrah dan hal ehwal Islam sepanjang saya di Arab Saudi diaturkan dan ditaja penuh oleh Liga Muslim Sedunia.
“Saya melihat ia adalah tanda penghormatan baginda, Kerajaan Arab Saudi dan pihak Liga Muslim Sedunia kepada Kerajaan Malaysia.
“Justeru, kenyataan bahawa saya bertindak menyalahgunakan wang rakyat untuk menaiki pesawat mewah sepanjang di sana / menuju ke sana adalah tidak benar,” jelasnya.
Menerusi bebenang yang sama, Zulkifli bagaimanapun memaafkan pihak yang menuduh dan membuat andaian berbaur fitnah terhadap dirinya.
“Saya maafkan tuduhan tersebut. Tidak ada apa-apa yang perlu saya simpan di hati. Sejujurnya, sepanjang di sini saya sentiasa mendoakan kebaikan kepada rakyat Malaysia, dan sudah pasti kepada umat Islam di Malaysia.
“Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna untuk kita semua, terutamanya kepada mereka yang lebih memerlukan,” coretnya.
Terdahulu, seorang individu telah berkongsi video berdurasi hampir satu minit yang merakamkan Zulkifli dan delegasinya berada dalam sebuah pesawat mewah ketika mengadakan lawatan ke Saudi.
Video berkenaan kemudiannya mendapat reaksi pelbagai daripada netizen dan menjadi tular sehingga ada yang melemparkan tuduhan mengaitkan lawatan tersebut dengan wang rakyat.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live