Pendakwah bebas Ustazah Asma' Harun menasihati orang ramai agar menjaga adab dan mendoakan kesejahteraan pempengaruh dan usahawan sensasi, Kak KM yang diduga dengan ujian anak menghidap jantung berlubang.

Kata Asma', adab sesama muslim untuk mendoakan satu sama lain dan bukannya terus mengkritik ketika individu terbabit berdepan ujian getir.

"Apabila ada yang meminta, maka adabnya sesama Muslim kita mendoakan.

"Semoga anakanda Kak KM akan kembali sembuh sepenuhnya, semoga ujian ini menjadi Asbab Rahmat Allah buat Kak KM sekeluarga, menjadi sebuah keluarga yang diredhai Allah SWT.

"Janganlah pula kita menuliskan kata-kata yang menambahkan kesedihan orang yang ditimpa musibah, kerana kita semua juga ada kesilapan dan aib yang disembunyikan.

"Berdoalah dalam sembunyi buat saudara kita, kerana ia adalah doa yang Mustajab dan akan didoakan kembali oleh Malaikat kepada kita," tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Asma' lagi, manusia juga tidak berhak untuk menghukum antara satu sama lain melainkan mendoakan ke arah kebaikan.

"Hanya Allah yang Maha Menyembuhkan dan berkuasa atas sekalian MakhlukNya. Segala nikmat dunia tidak akan mampu menandingi besarnya nilai sihat yang selama ini Allah berikan secara percuma.

"Kasih sayang Allah buat hambaNya begitu jelas, dengan segala nikmat yang tidak pernah putus, walau kita semua sentiasa melakukan kesilapan, melupakan dan menjauhkan diri daripadaNya.

"Tiba masanya pula kita membalas kebaikan Allah SWT dengan mentaatiNya dan meninggalkan laranganNya. Allah sangat menantikan kepulangan kita kembali padaNya saat hidup sebelum saat mati," ujarnya.



Terdahulu, Kak KM memohon doa orang ramai untuk kesembuhan anak perempuannya, Rania yang menghidap penyakit jantung berlubang.