Laman Utama
“Jangan Tinggal Korus, Tak Salah Hulur Mic Pada Penonton Tapi…” - Amir U.K’s
Vokalis kumpulan U.K’s, Amir menyatakan tidak ada salahnya bagi seorang penyanyi untuk menghulurkan mikrofon kepada penonton sewaktu membuat persembahan.
Kata Amir, tindakan itu merupakan salah satu cara bagi penyanyi untuk berinteraksi bersama peminat kesayangan namun harus dilakukan secara berpada-pada.
“Bagi saya tak salah untuk penyanyi menghulurkan mikrofon tetapi jangan terlalu lama. Mungkin satu atau dua baris sahaja sudah cukup.
“Paling penting bila tiba bahagian korus, penyanyi itu sendiri yang harus menyanyikan lagu itu, jangan tinggalkan.
“Sebenarnya ini bukan trick tapi sebaliknya lebih kepada untuk mendapatkan mood penonton. Bila dengar sambutan bermakna penyanyi itu sendiri akan jadi lebih yakin untuk menyampaikan bahagian seterusnya.
“Saya pun pernah buat tetapi tidak terlalu lama satu atau dua baris sahaja lepas itu kita teruskan sampai habis.
“Cara macam ini boleh dikatakan penyanyi-penyanyi barat pun ada buat tetapi tidak terlalu ketara.
“Apa pun yang paling penting berpada-pada, tidak bolehlah untuk semua lagu,” katanya ketika ditemui Gempak.
Amir ditemui dalam sidang media Konsert U.K’s 25 tahun di Hotel Primiera, Kuala Lumpur pada Rabu.
Konsert tersebut akan diadakan pada 17 dan 18 Jun depan bertempat di Istana Budaya.
Ketika ditanya mengenai kecaman netizen terhadap Amy Search yang didakwa tidak mampu lagi menyanyikan lagu bernada tinggi, ini jawapan Amir.
“Bagi saya kita seharusnya memberikan penghormatan kepada Amy Search. Apa yang berlaku mungkin disebabkan faktor umur dan juga sistem bunyi itu sendiri,” jawabnya.
Terdahulu, video Amy menyampaikan lagu popular berjudul Isabela ketika membuat persembahan menjadi tular.
Bagaimanapun video itu mendapat kritikan dan sindirian netizen yang mengatakan Amy tidak mampu menyampaikan lagu bernada tinggi dengan baik seperti dahulu.
Must-Watch Video