HIBURAN
"Jangan Tunggu Ada Lagi Zara Yang Lain..." - Bella Astillah
Kejadian tragis yang menimpa seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, Zara Qairina, telah mengundang perhatian ramai selepas mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah di Sabah.
Kes ini kini dikaitkan dengan dakwaan buli yang didakwa berlaku di kalangan pelajar asrama.
Selebriti dan penyanyi terkenal Bella Astillah turut tampil menyuarakan rasa sedih, marah dan kecewa terhadap insiden menyayat hati itu.
Dalam satu hantaran di Instagram, Bella menyatakan kebimbangannya terhadap keselamatan pelajar yang tinggal di asrama dan mempertikaikan sikap lepas tangan pihak yang sepatutnya memantau kebajikan pelajar.
Menurut Bella, kematian Zara yang masih muda dan jauh daripada keluarga sepatutnya membuka mata semua pihak tentang isu buli yang semakin membimbangkan.
"Adik Zara Qairina, tiga belas tahun, anak Sabah, perginya dalam keadaan penuh tanda tanya. Dikatakan dibuli, disakiti, tetapi sampai hari ini belum ada siapa yang tampil bertanggungjawab. Bayangkan anak kecil, jauh dari keluarga, menghadapi semuanya seorang diri. Kenapa sampai begini baru kita mula buka mata," tulisnya.
Bella juga mempersoalkan pihak yang sepatutnya menjaga pelajar di asrama dan menyifatkan tragedi ini sebagai satu bentuk kegagalan dalam sistem pemantauan dan perlindungan.
Sebagai seorang ibu dan anak jati Sabah, Bella mengakui hatinya remuk apabila membaca tentang penderitaan yang dialami oleh Zara, lebih-lebih lagi apabila tiada siapa tampil mempertahankan hak mangsa.“Siapakah orang yang sepatutnya bertanggungjawab memantau mereka di asrama. Di mana letaknya perikemanusiaan kamu semua," tambahnya.
“Tepuk dada tanya selera. Kalau ini berlaku pada anak kita sendiri, sanggupkah kita berdiam. Seorang anak kecil, di usia muda begitu, terpaksa menanggung penderitaan yang tidak sepatutnya. Buli bukan hal remeh. Jangan kita diam. Jangan tunggu ada lagi Zara yang lain.
"Tolonglah bha pantau anak-anak kita. Dengarkan mereka. Didik mereka supaya jadi manusia yang ada empati, bukan yang kejam. Zara bukan sekadar nama dalam berita. Dia adalah anak kita juga. Kita gagal bila anak-anak terbiar dalam sistem yang membutakan hati dan menutup kebenaran," katanya lagi.
Bella turut menzahirkan doa agar roh adik Zara ditempatkan dalam kalangan insan beriman dan keadilan dapat ditegakkan sebaik mungkin untuk keluarga mangsa.
Setakat ini, keluarga mangsa menolak sebarang kemungkinan bahawa arwah bertindak sendiri dan mengesyaki wujud unsur jenayah.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Must-Watch Video