Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berharap agar orang ramai tidak mempersalahkan jemaah himpunan tabligh dan mendiskriminasikan mereka yang dikaitkan dengan penularan COVID-19, lapor Astro AWANI.

Sebaliknya, rakyat Malaysia digesa membantu mengawal penularan wabak berkenaan.

"Merujuk kepada jagkitan COVID19 iaitu kadar jangkitan adalah 20 peratus daripada jumlah keseluruhan. Janganlah kita persalahkan jemaah tabligh. Janganlah kita diskriminasikan jemaah tabligh.

"Apa yang penting ialah kita membantu dan mengesan dan mengawal COVID-19 di kalangan jemaah tabligh dan kontak mereka," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Selasa.

Dr Noor Hisham merujuk kepada himpunan jemaah tabligh Masjid Jamek Sri Petaling yang berlangsung dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Tambahnya, usaha menangani kluster gelombang pertama COVID-19 adalah mudah kerana berkaitan dengan warganegara China.




Namun, ketika ini keadaannya berbeza kerana gelombang kedua COVID-19 kerana melibatkan beberapa kluster.

Ia termasuk usaha mengenalpasti rantaian jangkitan COVID-19 melibatkan jemaah tabligh.

"Apa yang lebih penting ialah ada kluster-kluster kecil dan kami sedang melihat kepada kluster generasi pertama, kedua dan ketiga berkaitan dengan jemaah tabligh.

"Itulah sebab 986 jemaah tabligh dikenal pasti positif COVID-19 dan mungkin menjangkiti generasi pertama, kedua dan ketiga. Kita ada rantai jangkitan berkenaan dan mungkin ke jangkitan ke generasi keempat," ujar beliau lagi.

Sumber: Astro AWANI