"Ya, sudah tentu saya memang tak akan curang lagi.

Itu janji yang keluar dari mulut pelawak Shuk Sahar, 35, selepas rumah tangga dengan isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah atau Sera dilanda dengan kontroversi panas pada awal tahun ini.

Kata Shuk, disebabkan sikap tidak bermoral yang dilakukan, dia telah kehilangan kerja tetap sebagai penyampai radio di sebuah stesen radio.

"(Kerana curang) saya jatuh terduduk, saya hilang gaji setahun dan semasa tu pulak baru berpindah rumah.

"Siapa sangka saya kehilangan kerja tiba-tiba sedangkan dalam fikiran saya kontrak akan tamat pada 2023,” katanya.

Tambah pemilik nama Mohammad Shukri Mohamed Sahar, dia menghargai kesetiaan dan kekuatan Sera yang tetap mempertahankan rumah tangga mereka walau terpaksa berdepan dengan pelbagai kecaman.

"Apa yang boleh saya katakan, Sera seorang wanita yang kuat dan saya tak pernah salahkan dia atau sesiapa dengan apa yang berlaku. Malah saya letak semua kesalahan atas diri saya.

"Jika kena pada batang hidung sendiri, saya tak tahu dapat jadi sekuat dia atau tidak. Allah SWT hanya akan uji seseorang itu mengikut kemampuannya.

"Saya bersyukur hubungan saya dengan isteri dan ahli keluarga semakin rapat. Saya juga bersyukur dapat semula keluarga selepas macam-macam dugaan yang datang.

"Saya selalu berdoa agar dijauhkan daripada segala dugaan yang besar seperti ini lagi," katanya kepada Gempak.

Shuk ditemui pada majlis pembukaan cawangan pertama air minuman, Semooth di Wangsa Maju, semalam.

Dalam pada itu, Shuk bangkit dan terus memandang ke depan dengan menceburi bidang perniagaan apabila membuka sebuah kedai minuman iaitu Semooth Cafe.

"Memandangkan saya sudah tidak lagi berkhidmat di Hot FM, jadi saya perlu ambil langkah dengan cepat untuk menyara keluarga.

"Jadi, saya bersama seorang lagi rakan kongsi cuba fikirkan idea terbaik untuk memulakan perniagaan. Akhirnya kami bersepakat untuk membuka kafe minuman.

"Insya-Allah kami dalam perancangan untuk membuka beberapa cawangan lagi selepas ini," kata Shuk.

Ditanya mengenai kisah di sebalik nama kafe itu, Shuk menyatakan idea itu muncul ketika dia ternampak sekumpulan semut.

"Ada cerita di sebalik nama kafe ini sebenarnya. Semasa sedang duduk berbincang dengan pasukan saya, macam-macam nama yang kami cuba beri untuk dijadikan satu jenama. Tetapi semua nama itu serba tidak kena.

"Akhirnya suatu hari saya ternampak sekumpulan semut. Kemudian saya dapat ilham untuk menjenamakan kedai sebagai Semooth Cafe.

"Watak semut sukakan sesuatu yang manis, tapi ia memberi simbolik kepada semangat setiakawan dan berpasukan sememangnya ia sesuai dengan konsep kedai ni,” katanya lagi.

Terdahulu, Sera mendedahkan suaminya itu masih lagi menjalinkan hubungan dengan Fara Salleh.

Jelas Sera lagi, dia juga bertindak menerjah ke rumah wanita tersebut untuk meminta suaminya pulang ke rumah namun terpaksa beredar dengan hampa.

Bagaimanapun, pada 8 Februari lalu, Shuk sudah berbaik semula dan berjaya memujuk isterinya selepas membuat kejutan membawa rombongan meminang ke kediamannya.

Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, 1.