Khabar mengejutkan datang dari dunia Korea Selatan. Ia tentang percintaan yang terjalin di antara dua bintang yang bermain di dalam drama bersiri hangat, The Glory.

Percintaan pasangan itu iaitu Lim Ji-yeon dan Lee Do-hyun pertama kali didedahkan oleh Dispatch.

Seperti biasa, bukan hanya cakap kosong, dakwaan percintaan mereka siap dengan bukti bergambar. Tak ambil masa lama, dua-dua agensi yang dinaungi pelakon tersebut membuat kenyataan rasmi.

Baik agensi Ji-yeon mahupun Do-hyun, keduanya membenarkan laporan tentang artis di bawah mereka sedang bercinta, lapor media tempatan.

Artist Company yang merupakan agensi kepada Ji-yeon menerusi satu kenyataan mengatakan: "Lim Ji-yeon dan Lee Do-hyun sedang dalam masa saling mengenal lebih dekat.

Sementara agensi yang menaungi Do-hyun, Yuehua Entertainment pula berkata: “Mereka berdua sudah dekat sebagai senior dan junior dan kini saling mengenal peribadi antara satu sama lain dengan perasaan yang lebih (cinta).”

Ji-yeon diketahui berusia 32 tahun manakala Do-hyun yang memainkan watak seorang doktor di dalam naskhah tersebut berumur 27 tahun.