Pelakon berbakat, Jasmin Hamid berasa kesal dengan seorang individu yang menyifatkan laman Instagramnya 'kotor' dengan promosi drama isu semasa.

Menurut Jasmin, dia selesa berkongsi hasil kerja sebagai seorang pelakon bersama penyokong di laman sosial berkenaan.

"Salah ke bila saya promosikan drama lakonan saya dan juga isu-isu semasa di media sosial saya sendiri?

"Ada orang kata media sosial saya kotor sebab penuh dengan promosi drama sendiri.

"Sedangkan artis antarabangsa pun gunakan platform media sosial mereka untuk mempromosikan filem dan isu semasa," kongsinya di Instagram.

Dalam pada itu, Jasmin turut mengatakan dia selesa berkongsi hasil kerja sebagai seorang pelakon, manakala perkongsian isu semasa adalah peranannya sebagai rakyat Malaysia.

"Saya cuma pamerkan kerja-kerja saya sebagai pelakon dan kadangkala isu semasa sebagai rakyat Malaysia.

"Walaupun media sosial saya tiada berjuta pengikut, saya tetap sayang dan hargai penyokong saya, merekalah yang kuatkan semangat saya untuk berjuang dalam dunia seni.

"Adakalanya saya tolong promosikan drama atau filem sahabat-sahabat saya," jelasnya lagi.

Meskipun demikian, Jasmin tidak menyatakan secara terperinci tentang individu yang diperkatakan itu.

Menjengah ruangan komen entri berkenaan, rata-rata pengikut Jasmin meninggalkan respon positif dan memberi sokongan kepadanya.

Tidak kurang juga pelakon Fasha Sandha dan penerbit Datuk Ayu Puteh yang menasihati Jasmin untuk tidak ambil peduli dengan kata-kata negatif pihak sebegitu.

A post shared by jasminhamid (@jasminhamidjh)


Foto: Instagram Jasmin Hamid