Penerbit filem Eidolon Bayangan Dendam, Julian Cheah mempunyai sebab tersendiri membariskan pelakon baharu dan kurang dikenali dalam nashkah tersebut.

Belajar daripada pengalaman terdahulu, Julian berkata, sekiranya dia membariskan pelakon ternama ia belum tentu menjanjikan pulangan yang lumayan.

“Saya mempunyai sebab sendiri kenapa saya pilih pelakon baharu berbanding pelakon yang ada nama.

“Jika saya pilih pelakon ternama untuk membintangi filem ini belum tentu menjanjikan profit atau untung kepada kami.

“Saya bercakap berdasarkan pengalaman yang terdahulu kerana saya pernah buat filem yang menampilkan dua bintang terkenal dari luar negara, tetapi filem tersebut tidak menjadi.

“Jadi untuk filem ini saya gamble tampilkan nama-nama baharu dalam masa sama dapat beri mereka peluang untuk pamerkan bakat lakonan mereka,” katanya kepada Gempak.

Julian berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan filem berkenaan yang berlangsung di ibu kota baru baru ini.

Dalam masa sama, pemilik Julian Cheah Pictures (Malaysia) Sdn.Bhd itu menjelaskan setiap penerbit pasti mengambil kira setiap perkara termasuk kos dan untung sesebuah naskhah.

Malah, dia turut berpendapat pembikinan sesebuah filem boleh diibaratkan sebagai bermain casino.

“Sebagai penerbit saya perlu mengambil kira tentang kos dan lain-lain, yang pasti ia perlu memberi pulangan yang berbaloi kepada kami.

“Kalau bertanya pasal jumlah keseluruhan kos saya tak mahu mention. Apabila buat filem sudah pasti ada target yang kami tetapkan.

“Untuk bikin sebuah filem saya boleh ibarat macam main casino, tak akan tahu pun untung yang akan dapat.

“Apa pun tujuan saya tetap mahu hasilkan naskhah yang bagus untuk di tonton orang ramai dan dalam masa sama saya berharap penonton yang datang ke wayang akan tertarik dengan filem Eidolon,” tambahnya.

Eidolon Bayangan Dendam membariskan Julian Cheah, Chazynash, Tyty Nazmin, Faeiz, Fifi, Cik My dan beberapa nama baharu seperti Nik Amirul Faiz, Zack Aminuddin, Zati Nizam, Jean Tan dan Jeffrey Leong.

Sinopsis:

Dua pasangan suami isteri yang juga merupakan jiran menghabiskan masa bersama dengan bercuti di sebuah rumah inap di sebuah kampung. Apa yang mereka tidak sedar adalah kediaman tersebut mempunyai sebuah misteri yang tidak terungkap. Mereka perlu berjuang untuk bertahan hidup selepas berdepan beberapa peristiwa mistik dan pembunuhan hanya kerana sebuah dendam.

Saksikan Eidolon Bayangan Dendam di pawagam seluruh Malaysia bermula 9 Mac ini.