Laman Utama

Jiran Bongkar Kanak-Kanak Tular Didera Ibu Kandung Pernah Melarikan Diri, Sering Dengar Jeritan Kesakitan

gempak
Syafiqah Jalal
13/08/2023
23:22 MYT
Sponsor Banner
Jiran Bongkar Kanak-Kanak Tular Didera Ibu Kandung Pernah Melarikan Diri, Sering Dengar Jeritan Kesakitan
Jiran kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang tular menjadi mangsa dera ibu kandung dan pasangannya di perumahan Layangkasa, Pasir Gudang, Johor sering mendengar jeritan dan tangisan kanak-kanak itu hampir setiap hari.
Menurut jirannya yang hanya mahu dikenali sebagai Hassan, 23, jeritan dan suara tangisan kanak-kanak tersebut didengari mereka bukan sahaja pada sebelah siang tetapi juga malam.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, keadaan tersebut menimbulkan syak dalam kalangan jiran-jiran bahawa budak lelaki tersebut didera ibu serta pasangannya yang merupakan wanita berperwatakan lelaki (pengkid).
"Apabila sudah tidak tahan mendengar jeritan dan tangisan budak lelaki tersebut, jiran-jiran terus pergi ke rumahnya untuk mengetahui apa yang berlaku. Malangnya ibunya enggan membawa anaknya keluar apabila kami mahu melihatnya.
"Kami beberapa kali ke rumah budak ini dan ada sekali tu, ibunya membawanya ke belakang rumah tidak mahu menunjukkan kepada kami. Ada sekali apabila didesak dia membawa keluar anaknya itu dengan menutup mukanya.
Pada masa itu kami tidak nampak kesan dera. Perkara ini kemudian berlarutan dan heboh diperkatakan dalam kumpulan WhatsApp taman ini yang terus curiga," katanya ketika ditemui di perumahan itu pada Ahad.
Hassan berkata, perbuatan itu terbongkar apabila jiran-jiran menyerbu rumah ibu kanak-kanak tersebut dan dapat melihat keadaan kanak-kanak itu sekali gus mengejutkan penduduk taman tersebut.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit tinggal bersama ibu dan pasangannya itu yang dipercayai merupakan warganegara Singapura.
"Sebelum ini kanak-kanak ini pernah melarikan diri dari rumah ke kawasan berdekatan sebelum ditemui penduduk dan membawanya pulang semula. Mungkin kerana tidak tahan didera.
"Kanak-kanak ini juga tidak bersekolah kerana saya selalu melihatnya termenung di tepi pagar rumah pada sebelah pagi semasa mahu pergi kerja. Kami tidak pernah melihat bapanya," dakwanya.
Dia berkata, kanak-kanak lelaki berkenaan kini masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru manakala ibu kandung dan pasangannya masih ditahan untuk siasatan polis.
Jiran depan rumah mangsa hanya mahu dikenali sebagai Nazri, 40, berkata, sebelum ini penduduk sudah dua kali melaporkan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam kerana yakin kanak-kanak berkenaan didera.
"Seorang jiran saya membuat laporan polis kedua pada Jumaat sebelum polis datang menyiasat dan mengesahkan memang berlaku penderaan.
"Sebagai jiran kami tidak sanggup lagi mendengar penyeksaan budak lelaki berkenaan," katanya.
Pada Sabtu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita warga tempatan berusia 27 tahun yang juga merupakan ibu mangsa dan wanita warga asing berusia 30 tahun itu ditahan sekitar jam 12.30 tengah malam Jumaat.
Terdahulu tular dua klip video yang masing-masing berdurasi 24 saat dan 32 saat di muat naik dalam twitter Cikgu Suraya pada jam 6.02 petang Sabtu.
Dalam video terbabit memaparkan beberapa individu dipercayai jiran-jiran di kawasan perumahan berkenaan berkumpul di hadapan rumah meminta agar kanak-kanak lelaki berkenaan dibawa keluar.
Video seterusnya berdurasi 32 saat pula memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami beberapa luka di bahagian belakang badan termasuk kesan lepuh dan berlubang dipercayai akibat didera.
Dua klip video berkenaan turut tular dalam Facebook Layangkasa itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Sumber: Sinar Harian
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live