Sekilas
- Pengarah Razaisyam Rashid memuji filem BAGA: Esok Untuk Siapa sebagai karya tempatan terbaik dalam lima tahun kebelakangan ini yang memberi kesan mendalam kepadanya.
- Lakonan Amir Ahnaf sebagai Jani dan Idham Maulana sebagai antagonis Cech menerima pujian tinggi atas kekuatan persembahan dan pembentukan watak.
- Filem ini mengangkat isu kemiskinan, tradisi dan pilihan dalam masyarakat kampung konservatif dan akan ditayangkan di pawagam mulai 5 November.
Pengarah, Razaisyam Rashid menyifatkan filem BAGA: Esok Untuk Siapa sebagai antara karya tempatan terbaik yang pernah ditontonnya.
Menerusi satu perkongsian, Razaisyam mengakui naskhah tersebut memberikan kesan mendalam terhadap dirinya, malah menganggap filem berkenaan bukan sekadar sebuah karya hiburan, tetapi turut membawa kepentingan besar kepada masyarakat.
“BAGA ialah filem tempatan terbaik yang saya tonton dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Ia benar-benar memberikan kesan kepada jiwa saya.
“Jani lakonan Amir Ahnaf seperti seseorang yang pernah saya kenali. Saya juga membesar dalam dunia seperti Jani dan melihat sendiri bagaimana kehidupan mereka yang bergelumang dengan ‘baga’,” tulisnya.
Dalam masa sama, Razaisyam turut memberikan pujian tinggi terhadap lakonan Idham Maulana yang membawa watak Cech.
Malah, dia menyifatkan Cech sebagai antara watak antagonis paling hebat pernah dihasilkan dalam filem tempatan, sekali gus mengiktiraf kekuatan lakonan serta pembentukan karakter dalam naskhah berkenaan.
“Idham Maulana sebagai Cech ialah antagonis filem tempatan paling hebat yang pernah dicipta, dilakonkan dan diarahkan,” katanya.
Razaisyam turut menegaskan bahawa kekuatan BAGA: Esok Untuk Siapa bukan hanya terletak pada jalan cerita dan persembahan barisan pelakonnya, sebaliknya mesej yang dibawa menjadikan filem tersebut sebuah karya penting untuk masyarakat.
“Saya boleh katakan, BAGA bukan sahaja sebuah filem yang hebat, tetapi juga sebuah filem yang penting untuk masyarakat kita,” ujarnya.
Filem Baga: Esok Untuk Siapa diterbitkan oleh Indigo Films dan Skop Productions membariskan pelakon Amir Ahnaf, Amirah Razak, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.
Mengisahkan dua jiwa muda yang tersepit antara cinta, impian dan kehidupan yang semakin menghimpit.
Berlatar kehidupan masyarakat kampung yang konservatif, filem ini turut menyentuh isu kemiskinan, tradisi dan pilihan yang membawa kesan besar.
Nantikan filem Baga: Esok Untuk Siapa yang akan berada di pawagam bermula 5 November depan.