Sekilas
- Hazreen Amreena, penyanyi baru di bawah naungan Shiha Zikir Empire, melancarkan single terbaru berjudul Teruskanlah yang mengangkat tema perjuangan dan kekuatan untuk terus berjuang demi insan tersayang.
- Lagu ini dihasilkan hasil kerjasama Shiha Zikir Empire dan Sony Music Malaysia, dengan lirik dan komposisi yang diinspirasikan dari pengalaman peribadi Hazreen sebagai anak sulung yang memikul tanggungjawab keluarga.
- Muzik video Teruskanlah dilancarkan pada 3 November 2026 dengan konsep simbolik, manakala Shiha memuji disiplin dan vokal luas Hazreen yang memberi ruang untuk bereksperimen dalam menghasilkan karya ini.
Penyanyi baharu di bawah naungan Shiha Zikir Empire (SZE), Hazreen Amreena tampil dengan single terbaharu berjudul Teruskanlah yang membawa mesej tentang perjuangan, pengorbanan dan kekuatan seseorang dalam meneruskan kehidupan demi insan tersayang.
Menurut Hazreen, 29, lagu yang dihasilkan menerusi kerjasama Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia itu mempunyai makna yang lebih dekat dengan dirinya berbanding single pertama sebelum ini.
Jelasnya, jika lagu terdahulu lebih berkisarkan tentang percintaan, Teruskanlah pula mengangkat kisah individu yang terpaksa menyimpan kepenatan dan kesedihan sendiri demi terus kuat untuk keluarga serta orang tersayang.
“Kita semua tahu, setiap orang mempunyai perjuangan dan pengorbanan tersendiri. Tipulah kalau tidak pernah rasa penat atau terfikir untuk mengalah, tetapi kita tetap gagahkan diri meneruskan kehidupan demi orang yang tersayang.
“Ada juga perkara yang kita pendam sendiri supaya tetap nampak kuat di mata orang tersayang, sedangkan jauh di sudut hati, sebenarnya kita tidak kuat.
“Jadi, menerusi lagu Teruskanlah, sedikit sebanyak ia dapat meluahkan apa yang tersimpan dalam hati seseorang yang mungkin tidak mampu diluahkan sendiri. Insya-Allah, lagu ini boleh memujuk dan memeluk hati mereka yang sedang berhabis-habisan berjuang untuk terus kuat,” katanya.
Dalam pada itu, Hazreen menyifatkan peluang bekerjasama dengan Shiha sebagai sesuatu yang cukup bermakna, apatah lagi lagu tersebut dicipta sepenuhnya oleh penyanyi berkenaan yang bertindak sebagai penulis lirik dan komposer.
Malah, Hazreen mengakui ketegasan Shiha ketika bekerja banyak membantunya untuk terus berdisiplin dan tidak leka dalam mengejar impian sebagai penyanyi baharu.
“Saya sangat berterima kasih kepada Shiha Zikir Empire kerana mempercayai diri saya dan sentiasa ada untuk membantu. Kak Shiha memang seorang yang sentiasa mahukan hasil terbaik dan tegas ketika bekerja.
“Bagi saya, cara Kak Shiha itulah yang membantu saya untuk tidak leka dalam mengejar impian, terutamanya sebagai penyanyi yang masih mencari langkah.
“Lagu ini bermula apabila Kak Shiha bertanya kepada saya lagu bagaimana yang saya mahukan. Saya beritahu yang saya mahukan sebuah lagu tentang anak sulung atau individu yang menjadi penyara keluarga, yang sentiasa bekerja keras untuk orang tersayang walaupun diri sendiri penat dan tiada tempat untuk meluahkan perasaan.
“Daripada situ, terhasillah karya yang cukup bermakna ini. Terima kasih Kak Shiha untuk lagu yang begitu dekat dengan hati saya,” katanya.
Tambah Hazreen, lagu tersebut bukan sahaja menggambarkan perjalanan hidupnya, malah turut ditujukan kepada sesiapa sahaja yang sedang berusaha mencapai impian masing-masing.
Dia sendiri mengakui pernah berdepan detik hilang semangat sepanjang perjalanan membina kerjaya dalam bidang seni, namun perkara itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk berhenti berusaha.
“Lagu ini saya tujukan kepada diri sendiri dan sesiapa sahaja yang sedang berjuang dalam kehidupan mereka.
“Seperti saya, saya masih berusaha mencapai impian dalam bidang seni. Tipulah kalau tidak pernah terfikir untuk mengalah, tetapi itu bukan alasan untuk saya berhenti di tengah jalan.
“Saya harap apabila orang mendengar lagu ini, mereka akan menjadi lebih kuat, tidak mudah mengalah dan terus berjuang hingga ke akhirnya,” ujarnya.
Hazreen turut berharap agar Teruskanlah menjadi batu loncatan untuk mengembangkan kerjaya seninya, selain mampu menyentuh hati pendengar yang melalui fasa kehidupan penuh cabaran.
“Semoga lagu ini didengar dan diminati ramai. Saya juga berharap menerusi lagu ini, Allah kurniakan lebih banyak rezeki dan peluang pada masa akan datang.
“Pada masa sama, saya berharap mesej lagu Teruskanlah dapat sampai tepat ke hati pendengar. Saya juga harap ramai yang menggunakan lagu ini di platform media sosial, terutamanya ketika berkongsi pahit manis kehidupan mereka.
“Kalau lagu ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada seseorang, saya sangat bersyukur,” katanya.
Shiha Gali Kisah Peribadi Hazreen Sebelum Cipta Lagu
Sementara itu, Shiha berkata, dia terlebih dahulu mengajukan pelbagai soalan kepada Hazreen bagi memahami kisah dan pengalaman hidup penyanyi itu sebelum mula menghasilkan lagu berkenaan.
Menurut Shiha, dia mahu memastikan karya yang diberikan bukan sahaja menepati kehendak artis di bawah naungannya, malah turut memberikan kepuasan kepada kedua-dua pihak.
“Untuk lagu kedua Hazreen ini, memang saya tanya dia mahu lagu bagaimana. Bagi saya, kalau hendak keluarkan lagu artis di bawah naungan saya, kedua-dua belah pihak perlu rasa gembira dan puas hati.
“Hazreen boleh dapat lagu yang dia mahukan, begitu juga dengan saya. Sewaktu menulis lagu ini, saya banyak bertanya kepadanya.
“Katanya, dia mahukan lagu tentang apa yang dilalui oleh anak sulung kerana kadang-kadang dia sendiri rasa penat, tetapi perlu kuat untuk berbakti kepada keluarga,” jelasnya.
Shiha turut berkongsi bagaimana pengalaman peribadi Hazreen menjadi inspirasi kepada lirik lagu tersebut, termasuk tabiat penyanyi itu yang memilih untuk bersendirian dan menangis ketika berdepan kesedihan.
“Saya tanya bagaimana cara dia meluahkan perasaan. Menurutnya, ketika sedang sedih, dia suka duduk di dalam bilik dan menangis.
“Daripada pengalamannya itu, saya tulis lirik, ‘Di kamar ku sendiri, bertahan untuk berdiri, di saat duniaku runtuh melalui takdir sendiri’.
“Begitu juga dengan jawapan-jawapan lain yang diberikan kepada saya. Saya tukar dan olah menjadi lirik lagu ini,” katanya.
Bagaimanapun, Shiha berpendapat mesej yang dibawa menerusi Teruskanlah tidak terhad kepada anak sulung sahaja, sebaliknya turut dekat dengan sesiapa sahaja yang memikul tanggungjawab mencari rezeki demi keluarga dan insan tersayang.
Malah, dia sendiri dapat mengaitkan kisah dalam lagu tersebut dengan kehidupannya yang turut bekerja keras untuk berkongsi rezeki bersama keluarga, ibu bapa dan pasangan.
“Saya sendiri boleh kaitkan dengan mesej dan penceritaan lagu ini. Selain untuk diri sendiri, kita bekerja untuk membantu atau berkongsi rezeki dengan keluarga, ibu bapa dan pasangan bagi yang sudah berkahwin.
“Saya mahu lagu ini menjadi peneman buat mereka yang penat lelah melalui perjalanan kehidupan,” katanya.
Puji Kemampuan Vokal Dan Disiplin Hazreen
Menyentuh mengenai keistimewaan Hazreen, Shiha mengakui tertarik dengan kemampuan vokal penyanyi itu yang mempunyai julat suara luas, sekali gus memberinya ruang untuk bereksperimen ketika menghasilkan lagu.
“Hazreen mempunyai vocal range yang tinggi. Saya pun seronok menghasilkan lagu untuk dia kerana saya boleh mencuba macam-macam. Dia boleh mencapai nota yang lebih tinggi daripada saya sendiri, selain boleh menyanyikan nota rendah dan tinggi.
“Lagu ini memang sesuai dengan suaranya. Apabila sudah menghasilkan sesuatu, sudah tentu saya mahukan hasil terbaik dan memuaskan hati.
“Walaupun saya tegas ketika bekerja, saya puji Hazreen kerana dia seorang yang mempunyai kemahuan tinggi,” katanya.
Shiha turut mendedahkan bahawa Hazreen menjalani sesi latihan secara kerap sebelum memasuki studio rakaman bagi memastikan proses rakaman berjalan lancar.
Katanya, dia memilih untuk mengadakan sesi latihan di pejabatnya sendiri supaya Hazreen benar-benar bersedia sebelum bertemu pasukan produksi di studio.
Selain itu, Shiha turut menjelaskan bahawa muzik video Teruskanlah dihasilkan dengan konsep ringkas, namun setiap elemen visual mempunyai simbolik tersendiri.
Antaranya, penggunaan lilin yang hampir terpadam sebagai gambaran seseorang yang tetap berusaha untuk terus bersinar demi insan tersayang, manakala air laut pula melambangkan gelombang kehidupan yang perlu ditempuhi.
Dalam pada itu, Shiha turut memuji sikap rajin, disiplin dan kesungguhan Hazreen sepanjang berada di bawah naungan SZE.
Menurutnya, Hazreen bukan sahaja aktif dalam bidang nyanyian, malah turut mencuba pelbagai cabang lain termasuk menghasilkan kandungan media sosial, berlakon dan terlibat dalam kerja-kerja produksi.
“Saya suka Hazreen kerana dia tidak mudah berputus asa, rajin dan tidak hanya duduk diam. Zaman sekarang, kalau tiada usaha, susahlah. Hazreen jenis orang yang sanggup mencuba macam-macam.
“Selain menyanyi, dia juga menghasilkan kandungan bersama saya untuk media sosial, berlakon dan melakukan kerja-kerja lain yang melibatkan syarikat produksi saya.
“Apa yang saya lihat, dia sudah menunjukkan peningkatan dan tidak lagi malu di hadapan kamera,” katanya.
Shiha turut menegaskan bahawa populariti bukanlah perkara utama yang dicari ketika memilih bakat baharu untuk bernaung di bawah SZE.
Sebaliknya, dia lebih mengutamakan minat mendalam terhadap bidang seni, kesungguhan untuk belajar serta kesediaan seseorang artis untuk bekerja keras dalam membina kerjaya.
“Walaupun zaman sekarang ramai yang menilai berdasarkan media sosial, isu tular dan sebagainya, saya selalu beritahu Hazreen tidak mengapa jika perjalanan kerjaya agak perlahan, asalkan terus berusaha kerana rezeki itu kurniaan Allah SWT.
“Sebelum memilih bakat baharu untuk bernaung di bawah SZE, saya akan bertanya terlebih dahulu. Kalau tujuan mereka hanya untuk menjadi popular semata-mata, saya tidak mahu.
“Namun, kalau mereka kata nyanyian adalah jiwa, mempunyai minat mendalam dan sanggup belajar, insya-Allah saya boleh pertimbangkan,” katanya.
Untuk rekod, lagu Teruskanlah mula boleh didengari menerusi platform penstriman digital bermula 3 November 2026, manakala muzik video rasminya turut dilancarkan di YouTube pada tarikh sama.