Sekilas
- Iman Troye kongsi cabaran mengimbangi kerjaya seni dan pelajaran ketika bergelar pelajar universiti, namun berjaya urus masa dengan baik.
- Dia sentiasa merendah diri walaupun kerjaya nyanyiannya semakin meningkat dan rindu momen belajar serta bersama rakan di kampus.
- Iman pesan pelajar nikmati zaman belajar kerana pengalaman universiti berbeza dengan dunia kerja, sambil menyertai program Gempakkan Kampus di UPM.
Penyanyi, Iman Troye mengakui bukan mudah untuk mengimbangi kerjaya seni dan pelajaran ketika bergelar pelajar.
Pemilik nama penuh Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin itu berkata, dia pernah berasa tertekan kerana perlu memberi komitmen sepenuhnya terhadap kedua-dua perkara tersebut. Namun, dia bersyukur kerana berjaya menguruskan masa dengan baik.
Meskipun kerjaya nyanyiannya semakin meningkat ketika berada di universiti, Iman tidak pernah menganggap dirinya lebih hebat berbanding rakan-rakan lain, sebaliknya dia sentiasa mengamalkan sikap merendah diri.
“Saya sangat stres sebab saya kerja dan belajar full time. Susah sangat tetapi alhamdulillah saya boleh kendalikan dengan baik.
“Zaman sekolah saya tak mula lagi. Tetapi selepas habis SPM baru saya lancarkan lagu Teman. Masuk uni itu saya sangat peak. Alhamdulillah, semua orang okay sahaja. Semua artis juga kat artis, apalah saya yang Iman Troye. Saya dan kawan-kawan semua sama sahaja. Saya rendah diri dan saya pun manusia biasa juga,” katanya kepada Gempak.
Iman berkata demikian ketika ditemui pada Program Santuni Pelajar Mekdi Gempakkan Kampus di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, baru-baru ini.
Ditanya mengenai kenangan sepanjang zaman belajar, Iman mengakui dia merindui momen menghadiri kelas bersama rakan-rakan dan meluangkan masa bersama mereka selepas tamat kelas.
“Saya rindu semua momen terutama ketika bangun pagi. Kelas saya pack, pagi sampai malam sebab saya budak muzik. Kadang kami pergi makan dan tengok wayang.
“Momen nakal saya tiada sangat. Lecturer saya sangat garang. Saya sempat register betul betul pelajar dah habis. Saya selalu parking kereta kat tempat pensyarah. Saya tak pernah kantoi. Saya tahu pensyarah saya parking mana, senang nak deal,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Teman itu turut menitipkan pesanan kepada pelajar agar menghargai dan menikmati setiap momen sepanjang berada di universiti kerana pengalaman tersebut berbeza dengan alam pekerjaan.
“Kepada adik Degree dan Diploma. Nikmatilah zaman belajar kerana dunia kerja ini berbeza. Momen zaman belajar sangat istimewa. Ia adalah sebahagian dari proses kehidupan,” kongsinya.
Sekadar info, program Gempakkan Kampus bersama Mekdi berlangsung pada Sabtu lalu di Panggung Percubaan, UPM, Serdang.
Selain Iman, program tersebut turut menampilkan barisan artis dan selebriti popular seperti Mierul Aiman, Dayang Nurfaizah, Qawiyaro, Financial Faiz, Yaya Zahir dan Amirul Ramli.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan khas buat warga kampus, termasuk sesi perkongsian ilmu, permainan interaktif serta ruang santai untuk mahasiswa meluangkan masa bersama rakan-rakan.