Sebanyak 8,376 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Johor sejak 1 Jan lepas hingga semalam, peningkatan sebanyak 79 kali ganda berbanding 106 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata kebanyakan kes berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah enam tahun iaitu 7,214 kes, diikuti tujuh hingga 12 tahun (998) dan bakinya lebih daripada 13 tahun.

Beliau berkata daerah Johor Bahru mencatat bilangan kes tertinggi iaitu 2,897 kes, Kluang (1,093), Tangkak (883), Batu Pahat (846), Segamat (752), Kota Tinggi (650), Pontian (539), Muar (325), Kulai (266) dan Mersing (125).

"Setakat ini, terdapat hanya satu wabak aktif HFMD dilaporkan di negeri ini melibatkan daerah Johor Bahru," katanya.

Sementara itu, Ling berkata sebanyak 75 peratus kluster kes jangkitan saluran pernafasan iaitu Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) yang dilaporkan di Johor melibatkan institusi pendidikan.

Katanya lagi, bilangan kluster wabak berkenaan yang dilaporkan hingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-28/2022 juga menunjukkan peningkatan, iaitu 16 kluster berbanding lapan kluster bagi tempoh sama tahun lepas.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 1,352 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan di negeri itu hingga ME ke-28/2022, berbanding 574 kes pada tempoh ME sama tahun lepas.

"Pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor terhadap jangkitan ILI dan URTI mendapati situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan," tambahnya.

Sumber - Awani