Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia selama dua tahun turut memberi impak yang besar dalam kehidupan penyanyi dan pempengaruh As’ad Motawh.

Mengakui pernah melalui zaman kejahilan di usia muda, kehidupan As’ad berubah menjadi lebih baik selepas mendekatkan diri kepada Allah selain menjaga hubungan dengan keluarga.

“Bagi saya, pandemik Covid-19 adalah benda yang paling terbaik terjadi dalam hidup saya dan ia satu pengalaman yang terbaik saya ada.

“Sebab masa Covid datang, apa yang saya lakukan adalah membaca buku, saya mula solat… sejujurnya, saya tak solat dahulu. Saya menjaga keluarga dan menjadi sangat rapat.

“Secara jujurnya, dahulu saya budak nakal. Masa itu, rasa dikenali, ‘handsome’, ada sedikit duit dan lakukan benda bodoh. Tapi saya belajar, ia sangat membuang masa.

“Saya ada rasa sedikit penyesalan, kalau la saya guna masa itu untuk bahagikan apa yang saya sedang lakukan sekarang, mungkin ada lebih banyak progresif,” katanya kepada Gempak.

As’ad ditemui ketika majlis pelancaran lagu dan video muzik (MV) Welcome To My World yang diadakan di SkySymphony stage, SkyAvenue, Resort World Genting, Genting Highland pada Khamis.

Dalam pada itu, As’ad memberitahu pengalaman dalam dunia seni juga mengajar dirinya untuk menjadi lebih matang dalam sesuatu perkara termasuklah menjawab soalan.

“Pengalaman hidup itu sangat bagus tapi saya perlu berkata jujur, saya tidak begitu bijak ketika di usia muda, saya menjawab sesuatu soalan dengan cara kasar.

“Saya tidak begitu bijak dalam sesetengah perkara. Selepas banyak yang saya belajar, kalau kita tak tahu apa nak jawab, lebih baik berdiam. Saya belajar daripada kesilapan saya,” ujarnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.