Pelakon dan pengacara, Ain Edruce akui reda jika dia berjangkit dengan virus Covid-19 yang dihidap oleh bayinya, Soraya yang baru berusia 9 bulan.

Kata Ain dia tiada pilihan selain menjaga serta menyusukan sendiri anaknya itu meskipun disahkan masih negatif.

“Di hari kedua dia nampak aktif seperti biasa walaupun tiada selera makan dan bergantung penuh pada susu badan saya. Soraya menyusu secara langsung (direct feed).

“Jadi saya tiada pilihan saya tak pasti sama ada saya boleh berjangkit atau tidak kerana memang dia melekat pada saya setiap masa.

“Tapi kalau berjangkit pun saya reda demi anak,” katanya kepada Gempak.

Ain dihubungi Gempak selepas memaklumkan anaknya dijangkiti wabak berkenaan di media sosial.

Menurut Ain agak mencabar menjaga anak seorang diri selepas suaminya, Amirul Hafiz juga turut positif Covid-19.

Pun begitu, dia bersyukur kerana banyak rakan dan keluarga yang memberikan kata-kata semangat.

“Tu lah saya akui mencabar juga tambahan pula penat sebab sebelum ni ada Amirul tolong jagakan sekali. Bayangkan saya nak ke tandas pun bawa Soraya..

“Lepas tu dengan tak cukup tidur lagi. Tapi saya bersyukur kerana keluarga banyak ingatkan kena kuat..mental dan fizikal.

“Jadi saya cuba lah walaupun sedih tengok Soraya sakit…dia masih kecil lagi,” kongsinya lagi.

Sekadar info, Ain selamat diijabkabulkan bersama pasangannya yang juga ahli perniagaan, Amirul Hafiz Mustaffa pada 13 Disember 2019. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan Soraya pada 19 Mei 2021.