Berita
“Kalau Nak Jadi Tu, Jadi Juga...”- Irma Hasmie Tak Pernah Kawal Suami
Pelakon dan pengacara Irma Hasmie akui sebagai isteri dia tidak perlu terlalu mengawal gerak-geri suaminya, Redza Syah Azmeer Radzuan.
Menurut Irma, dia hanya menjalankan tanggungawab sebagai isteri dan ibu sebaik mungkin untuk keluarga dan selebihnya apa yang berlaku diserahkan kepada ketentuan Tuhan.
“Bila dah kahwin ni bagi saya kita tidak boleh kawal sangat pasangan kita. Macam saya, saya hanya lepaskan sahaja apa yang suami hendak lakukan asalkan dia tahu batasnys.
”Pada saya, jika dikawal seketat mana pun, kalau nak jadi tu jadi juga.
“Apa yang penting, saya sudah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dan tidak dipersalahkan jika berlaku apa-apa.
“Selebihnya, serahkan saja kepada suratan takdir. Bagaimanapun alhamdulilah rumah tangga kami masih aman,”katanya kepada Gempak.
Irma berkata pengalaman lalu telah mematangkannya dan dia cuba untuk kekal positif demi kehidupan yang lebih berkualiti.
“Tidak dinafikan pengalaman lalu banyak mengajar saya berhadapan bermacam-macam perkara. Kita tidak boleh kawal orang lain, sebaliknya fokus kepada keamanan dan ketenangan minda.
“Untuk kekal positif, bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan satu malam kerana ia mengambil masa.
“Faktor sekeliling turut membantu memastikan fikiran tidak melayang kepada perkara negatif. Hal rumah tangga adalah sesuatu yang sukar dijangka,” katanya lagi.
Irma dan Redza mendirikan rumah tangga pada tahun 2012 dan dikurniakan dua anak iaitu Redza Syah Irfhan, 6, dan Irma Nur Naylie, 5 tahun.
Must-Watch Video