Bukan mudah untuk menjadi anak seni, khususnya pelakon yang perlu menjiwai watak di layar lebar mahupun kaca. Banyak hal perlu dititik beratkan terutama perihal penampilan yang perlu selari dengan watak yang digalas dalam sesebuah naskhah.

Bagi Zalif, sungguhpun dia mempunyai saiz badan yang besar, namun, dia tidak menolak jika diminta oleh produser atau pengarah untuk menurunkan berat badan demi menjayakan sesuatu watak.

“Memang ada permintaan daripada produser yang mengharapkan saya turunkan sikit berat bagi sebuah filem dan jujurnya, saya berjaya kecilkan sedikit saiz pinggang untuk filem Tantiana. Filem tersebut belum dipasarkan lagi memandangkan lockdown akibat COVID-19 sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Kalau produser minta saya kuruskan badan demi watak, saya buat! Apatah lagi jika naskhah yang ingin dijayakan itu merupakan satu naskhah yang baik. Saya tidak akan lepaskan peluang,” katanya kepada Gempak.

Zalif berkata, dia selesa dengan saiz badannya sekarang memandangkan rezekinya yang masih tidak putus dalam bidang lakonan.

“Saya tidak kisah dengan saiz badan saya sekarang. Rezeki pun tidak pernah putus. Begitupun, saya mengharapkan lebih banyak watak berbeza ditawarkan kepada saya supaya saya dapat mencabar diri sebagai pelakon. Watak antagonis atau serius, saya boleh lakukan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan terkini, Zalif memberitahu yang filem komedi aksi lakonannya, Marabahaya Underground kini sedang ditayangkan di Astro First.

Menurut Zalif, sungguhpun kemunculannya tidak banyak dalam filem berkenaan, namun, wataknya sebagai Bob disifatkan sebagai pelengkap bagi keseluruhan jalan cerita Marabahaya Underground.

“Benar, watak saya bukanlah watak utama. Tetapi, jalan cerita Marabahaya Underground ini berkesinambungan apabila wujudnya watak Bob.

“Jika mahu tahu apakah peranan Bob, jangan lupa saksikan Marabahaya Underground!,” katanya lagi.

Turut dilakonkan oleh Hazama, Joey Daud dan Jasmin Suraya, filem Marabahaya Underground lakonan sudah boleh ditonton menerusi Astro First bermula 2 Disember lalu.